Prototaip Apple HomePod Dengan Skrin Sesentuh Tertiris
Fahim Zahar
Apple HomePod adalah speaker pintar Apple yang dikuasakan pembantu maya Siri. Speaker ini menawarkan audio berkualiti melalui Apple Music dan turut boleh mengawal peranti internet benda yang menggunakan Apple HomeKit.
Terdapat dua versi HomePod, satu yang besar sebagai pesaing kepada Google Nest Hub dan satu lagi HomePod Mini pesaing kepada Nest Hub Mini. Terbaru, prototaip HomePod dengan skrin sesentuh telah tertiris.

Imej prototaip yang tertiris memperlihatkan rekaan HomePod yang lebih kurang sama dengan generasi kedua yang berbentuk silinder dengan pad kawalan berbentuk bulat di atas. Di sekeliling speaker pintar ini menggunakan bahan binaan seakan fabrik merangkap kekisi audio. Pad kawalan di atas pula dilihat digantikan dengan skrin sesentuh LCD yang mungkin boleh digunakan pengguna untuk menjawab panggilan telefon, menukar lagu dan mengakses aplikasi terbina.

Imej tertiris ini selari dengan laporan kami beberapa bulan lepas, di mana Ming-Chi Kuo menyatakan Apple bakal hadir dengan HomePod dengan skrin sesentuh bersaiz 7-inci. Buat masa ini, HomePod masih tidak ditawarkan di Malaysia dan Singapura adalah negara terdekat yang menawarkannya.
[sumber] 9to5Mac [/sumber]