Carian
Kota Mekah Dan Madinah Versi Digital Dibangunkan Oleh Naver Untuk Kerajaan Saudi
October 24, 2023 Effi Saharudin

Dua kota paling suci umat Islam akan didigitalkan oleh syarikat teknologi Korea Selatan Naver. Menerusi persetujuan antara Naver dan kerajaan Arab Saudi, Mekah, Madinah Riyadh, Jeddah, dan Dammam versi digital akan dibangunkan secara maya dan beroperasi selama lima tahun bermula 2024 dengan kos dianggarkan sekitar $100 juta.

Menerusi pendigitalan ini, pelbagai simulasi mengenai trafik, pembangunan, pengintegrasian teknologi baharu, dan penyelenggaraan dapat dilakukan secara maya terlebih dahulu bagi melihat keberkesanannya. Sekiranya terbukti pada versi digital, barulah sistem yang diuji diperkenalkan pada bandar sebenar.

Selain itu Naver akan memberikan akses bandar-bandar digital ini kepada syarikat pemula Saudi yang mungkin ingin memperkenalkan sistem kawalan trafik, swapandu dan kecerdasan buatan. Kemampuan lain bandar digital oleh Naver Lab ini ialah ia turut boleh digunakan untuk melakukan simulasi jika berlaku bencana alam sebelum ia berlaku.

Kota Mekah dan Madinah sudah lama menggunakan teknologi untuk mengawal jemaah yang hadir untuk melakukan haji dan umrah. Teknologi simulasi pergerakan manusia misalnya digunakan untuk membina jambatan bertingkat melontar jamrah selepas tragedi Terowong Muassim 1990.

Komen