Carian
NVIDIA Dilaporkan Sedang Bangunkan Cip Pemprosesan Untuk Komputer Berasaskan ARM
October 24, 2023 Aman

NVIDIA pada hari ini sedia dikenali dengan penawaran kad grafik, serta penyelesaian untuk pusat data – terutamanya ketika era letusan kecerdasan buatan kini. Disamping ini, kini ia dilaporkan NVIDIA bakal hadir dengan cip pemprosesan untuk komputer – sekaligus bersaing di arena yang didominasi oleh Intel pada hari ini.

NVIDIA dilaporkan telah mula membangunkan cip pemprosesan yang boleh menjalankan sistem operasi Windows, dengan menggunakan rekaan cip berasaskan ARM. Sekiranya semua berjalan lancar, NVIDIA dijangka menawarkan cip untuk komputer mereka ini seawal 2025 kelak.

Pada minggu ini, Qualcomm dijangka memperkenalkan cip pemprosesan untuk komputer dengan binaan berasaskan Arm, dinamakan Snapdragon X. AMD juga dikatakan sedang bangunkan cip pemprosesan untuk komputer berasaskan ARM, dan dijangka perkenalkan ia pada 2025 – tempoh lebih kurang sama dengan NVIDIA.

Penggunaan cip dengan rekaan ARM dijangka menawarkan kadar efisien terutamanya dari segi penggunaan bateri lebih lama – sekaligus membolehkan pengguna menggunakan komputer riba untuk tempoh hampir sehari tanpa masalah.

Dengan langkah ini, ia semestinya akan memberikan cabaran kepada Intel yang selama ini menawarkan majoriti cip pemprosesan untuk komputer berasaskan Windows. Sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut dalam arena cip pemprosesan ini.

Komen