Carian
Yayasan Pahang Dan Beyond4 Hadir Dengan Program Pemecut Startup Khas Untuk Anak Atau Startup Dari Pahang
October 24, 2023 Ikhwan Nazri

Jika anda ikuti perkembangan dunia startup tempatan, sedar atau tidak yang mana banyak program, inisiatif, acara dan juga bengkel yang diadakan bertumpu di negeri-negeri yang secara amnya berada di bahagian barat. Yayasan Pahang dengan kerjasama Beyond4, ingin menumpukan pembangunan startup dengan dua kriteria yang menarik berbanding lain. 

Dua kriteria untuk sebarang syarikat pemula (startup) menyertai program pemula Yayasan Pahang adalah sama ada startup mereka berpangkalan di Pahang atau mana-mana pengasas startup adalah kelahiran Pahang. Sekiranya salah satu syarat ini dipenuhi, Yayasan Pahang sangat mengalu-alukan kemasukan ke dalam mana-mana program dan untuk permulaan ini, mereka hadir dengan dua program iaitu program pembangunan kemahiran Pahang Innovative Talent Accelerator (PITA) dan program pemecut pemula Pahang Innovative Startup Accelerator (PISA).

Untuk PITA, program pembangunan kemahiran ini ditawarkan khas untuk graduan dari Pahang untuk mendalami kursus dan mendapatkan pensijilan kemahiran seperti analisis data, Internet Benda (IoT), dan juga pensijilan SAP. Program ini akan dilancarkan tidak lama lagi.

Sementara itu untuk PISA, mereka telahpun berjaya mengadakan program pemecut ini sebanyak 3 kali bermula dari tahun 2022. Menerusi program ini, startup akan melalui program pemecut selama 3 bulan yang akan memfokuskan kepada pengayakan perniagaan mereka, bagi memastikan startup yang bakal dibangunkan akan membawa keuntungan. Di akhir program pemecut ini, akan ada acara pembentangan (Demo Day) dan syarikat yang berjaya akan turut menerima peluang pelaburan dari Yayasan Pahang sendiri sekitar RM 50,000 dan juga sokongan berterusan dari Beyond4. 

Sehingga kini sebanyak 39 startup telah mendapat manfaat menerusi program ini, dan juga telah menyertai acara Demo Day dalam mempersembahkan idea mereka kepada umum. Antara startup yang telah menyertai program pemecut PISA ini adalah seperti YesHello, Exploria, Umorie, Qarbotech, MyRehat dan pelbagai lagi. Malah Qarbotech yang hadir dengan teknologi untuk melipatgandakan hasil tuai tanaman telahpun menerima sejumlah pelaburan bernilai $800,000, dan sedang mengumpulkan dana Pre-Series A yang berjumlah RM 8 juta, untuk nilai syarikat melebihi RM 50 juta.

Selain dari itu, berhadapan bangunan Yayasan Pahang adalah Rumah Pahang yang dibina bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan syarikat pemula berpangkalan di Pahang, di samping menjadi tempat untuk sebarang aktiviti seperti kursus, acara perkongsian, ruang kerja-bersama, rakaman studio, bilik perjumpaan, dan pelbagai lagi. 

Dengan wujudnya kerjasama Yayasan Pahang dan Beyond4 ini, besar harapan mereka untuk membangunkan dan memajukan dunia syarikat pemula Pahang, sekaligus memberikan pertumbuhan pesat kepada ekonomi negeri. Bagi anda yang berminat dengan program kelolaan mereka, lawati laman web Beyond4 untuk maklumat lanjut. 

Komen