Carian
Huawei MateBook 14 Dikemaskini Dengan Cip Pemprosesan Intel Core i5 Generasi Ke-12 – Berharga RM3999
October 24, 2023 Nazrin

Huawei Malaysia hari ini telah mengumumkan kemaskini komponen kepada komputer riba Huawei MateBook 14 mereka. Jika sebelum ini ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel generasi ke-11 Rocket Lake, ia kini dikuasakan oleh cip pemprosesan generasi ke-12 Alder Lake.

Huawei MateBook 14 kini dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core i5-1240P dan dilengkapi juga dengan memori DDR4 sebanyak 16GB dan juga storan SSD PCIe sebesar 512GB. Ia tampil dengan paparan sesentuh Huawei FullView Display bersaiz 14 inci dengan resolusi 2K dan juga nisbah paparan 3:2, menyerupai nisbah sekeping kertas A4.

Dari segi palam, komputer riba ini dimuatkan dengan dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam USB Type-C, satu palam HDMI dan satu palam audio 3.5mm. Huawei Matebook 14 ini juga hadir dengan teknologi sambungan nirwayar Bluetooth 5.1 dan juga WiFi6.

Huawei MateBook 14 terbaru ini juga hadir dengan ciri sambungan peranti Huawei Super Device, yang membolehkan pengguna untuk berkongsi kandungan diantara peranti-peranti Huawei yang lain dengan cepat dan mudah.

Pra-tempahan untuk Huawei MateBook 14 sudah mula dibuka di laman web rasmi Huawei Malaysia dan juga gedung atas talian mereka di Lazada. Harga asal komputer riba ini ditetapkan pada RM3999, tetapi jika anda menempahnya sekarang sehingga 31 Oktober ini, anda boleh mendapatkan komputer riba ini pada harga diskaun RM2999 dengan diskaun pra-tempahan sedia ada, ataupun pada harga RM2999 dengan baucar tambahan RM200 yang boleh didapati di gedung Lazada Huawei Malaysia.

Komen