Permohonan paten untuk sebarang teknologi baru bukanlah sesuatu yang unik hari ini. Akan tetapi, pada satu ketika dahulu, penerimaan paten perisian teknologi merupakan satu cara untuk syarikat-syarikat teknologi kecil untuk bersaing dengan syarikat-syarikat konglomerat pada ketika itu.
Ia semuanya bermula dengan Martin Goetz, individu pertama untuk menerima paten perisian pertama pada tahun 1968 untuk menghalang konglomerat IT terbesar ketika itu, IBM daripada menggunakan perisiannya bersama-sama dengan penawaran komputer mereka secara percuma.
Pada ketika itu, perisian komputer tidak dilihat sebagai sebuah teknologi yang boleh dipatenkan, dan seringkali banyak syarikat menggunakan perisian-perisian “parti ketiga” pada masa itu dan tidak membayarnya, seringkali menyebabkan mereka terpaksa ditutup kerana tiada punca pendapatan.

Pada tahun 1968, Martin Goetz telah menerima paten untuk perisian penyusunan data untuk komputer kerangka utama (mainframe) dan melalui syarikatnya, Applied Data Research telah menyaman IBM untuk menghalang syarikat tersebut daripada menggunakan teknologi perisian tersebut sewenang-wenangnya.
Malah, apabila Martin Goetz menerima paten perisian tersebut, ia dilihat sebagai pencetus untuk syarikat-syarikat perisian lain untuk menentang syarikat-syarikat gergasi ini untuk meniru perisian mereka dan menggunakannya sewenang-wenangnya.
Oleh kerana ini, Martin Goetz juga telah dikenali sebagai “bapa perisian parti ketiga” kerana apa yang dilakukannya untuk industri pembangunan perisian pada era tersebut.
- Sumber
- Tom’s Hardware