NVIDIA ialah salah satu daripada syarikat-syarikat teknologi yang terkesan dengan sekatan jualan produk-produk mereka di pasaran-pasaran tertentu, khususnya China, Emiriyah Arab Bersatu, Arab Saudi dan sebagainya.
Pada awal bulan ini, kerajaan Amerika Syarikat telah mengenakan sekatan penjualan komponen-komponen kecerdasan buatan mereka, khususnya kad grafik NVIDIA A100, A800, H100, H800, and L40S yang dibangunkan khusus untuk memperkasakan teknologi kecerdasan buatan.

Pada awalnya, NVIDIA diberi tempoh masa 30 hari untuk menghentikan jualan komponen-komponen ini kepada syarikat China, dan sepatutnya berkuatkuasa pada 17 November 2023. Walaupun begitu, kemaskini kepada pemfailan tersebut bertarikh 23 Oktober 2023 nampaknya mengatakan kini bahawa sekatan jualan tersebut kini berkuat-kuasa serta-merta dan tidak memberikan masa kepada NVIDIA ataupun syarikat-syarikat teknologi China ini untuk menjual dan mendapatkan bekalan komponen tersebut.
Halangan keatas komponen-komponen kecerdasan buatan ini juga dilihat adalah terhad kepada komponen dengan kuasa pemprosesan 4800 TOPS, dan menariknya, salah satu daripada komponen pengguna yang terkesan akibat sekatan ini ialah kad grafik NVIDIA yang paling berkuasa, iaitu NVIDIA GeForce RTX 4090, yang kini nampaknya juga tidak akan dibenarkan jualannya untuk pasaran di China.