Blackmagic Design mengumumkan aplikasi popular mereka DaVinci Resolve akan akhirnya disokong secara natif pada PC Windows dengan cip ARM. Pengumuman dilakukan ketika acara Snapdragon Summit pagi ini.
Dalam pembentangan yang dilakukan oleh Dave Lebolt ketua bahagian strategi di Blackmagic Design mengatakan DaVinci Resolve pada PC dengan Snapdragon X Elite dapat melakukan beberapa ciri AI hampir dua kali lebih pantas berbanding PC dengan cip Intel.
Tarikh bila DaVinci Resolve untuk Windows ARM akan dilancarkan belum lagi diumumkan cuma ia kini sedang dibangunkan. Sebelum ini DaVinci Resolve hanya disokong pada MacBook dan iPad dengan cip berasaskan ARM. Dengan pengumuman ini pengguna Windows ARM tidak lagi terasa komputer mereka dilupakan oleh pembangun.