Selepas menguji kebolehan meletakkan lokasi pada Notes, Instagram kini bakal membolehkan pengguna berkongsi video swafoto pula melaluinya. Dalam kenyataan ringkas yang disiarkan menerusi halaman Channel milik Ketua Pegawai Eksekutif Instagram, Adam Mosseri mengatakan bahawa, ciri itu sedang dalam pengujian buat masa ini.

Berfungsi sama seperti ciri perkongsian video pada Stories sebelum ini, pengguna boleh membuat rakaman dengan hanya mengetik pada butang khusus yang disediakan.
Selepas selesai merakam, klip video itu boleh dikongsi yang kemudiannya akan muncul sebagai gambar profil pada Notes. Pada masa sama pengguna turut boleh menambah teks tertentu pada siaran tersebut sekiranya mahu.
Panjang durasi untuk sesebuah klip video yang boleh direkod tidak pula diketahui buat masa ini. Namun klip video itu akan dipaparkan pada Notes selama 24jam, melainkan pengguna sendiri yang memadamnya secara manual.

Sekali lagi dikatakan ciri ini masih diperingkat pengujian yang pastinya akan ditambahbaik sebelum diedarkan secara rasmi kelak. Untuk rekod ciri yang sama turut telah ditawarkan menerusi ciri Stories yang turut ditambahbaik dengan saiz lebih besar.