Carian
Penggunaan Tenaga Elektrik Oleh Kecerdasan Buatan Dijangka Akan Melangkaui Sejumlah Negara Menjelang 2028
October 26, 2023 Nazrin

Tidak lama dahulu, kami ada melaporkan bahawa penggunaan teknologi kecerdasan buatan yang dibangunkan OpenAI, Microsoft, Google dan sebagainya menggunakan sebanyak 500ml air untuk setiap lima ke 50 soalan yang diajukan kepadanya.

Terkini, laporan oleh Schneider Electric telah mengatakan bahawa penggunaan tenaga elektrik oleh mesin-mesin pelayan yang dibangunkan khusus untuk tujuan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin dianggarkan akan mencecah sekitar 4.3GW pada penghujung tahun ini.

Menurut laporan yang sama, jumlah tenaga elektrik yang digunakan secara tahunan oleh mesin-mesin pelayan secara keseluruhannya mencecah 54GW, dan teknologi kecerdasan buatan sahaja dilihat menghampiri 10 peratus jumlah penggunaannya.

AI Kecerdasan Buatan

Pada tahun ini, ia dilihat bahawa 80 peratus daripada penggunaan tenaga oleh teknologi kecerdasan buatan boleh dikaitkan kepada pembelajaran mesin, manakala 20 peratus lagi adalah untuk tujuan inferens, ataupun pembuatan keputusan berdasarkan maklumat yang dimilikinya setakat ini.

Schneider turut mengatakan bahawa kadar penggunaan tenaga tahunan teknologi ini dijangka akan meningkat lagi dari tahun-ke-tahun sebanyak 26 ke 36 tahun, dan menjelang tahun 2028 kelak, jumlah penggunaan tenaga elektrik oleh kecerdasan buatan sahaja dijangka akan meningkat sehingga 20GW setahun, dan penggunaan tenaga elektrik global oleh mesin pelayan secara keseluruhan akan mencecah 90GW setahun.

Ia juga tidak mengejutkan bahawa menjelang 2028 kelak, penggunaan tenaga elektrik oleh kecerdasan buatan akan memakan sebanyak 20 peratus daripada jumlah penggunaan tenaga oleh semua mesin-mesin pelayan global.

Komen