Carian
Xiaomi Watch S3 Dilancarkan Dengan Bezel Boleh Ditukar Ganti, ECG Dan Xiaomi HyperOS
October 26, 2023 Amy Maizuraa

Siri Xiaomi 14 menjadi tumpuan hari ini sebagai peranti terawal yang dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 3. Pada masa sama ia menjalankan sistem operasi baharu Xiaomi HyperOS yang diberi penambahbaikan dalam pelbagai aspek termasuk rekaan, prestasi dan sekuriti.

Selain daripada telefon pintar, Xiaomi Watch S3 turut diumumkan hari ini sebagai tambahan baharu untuk barisan peranti boleh pakai jenama tersebut. Pelbagai ciri menarik yang ditawarkan melaluinya seperti kebolehan bezel yang boleh ditukar ganti, terawal yang menjalankan sistem operasi Xiaomi HyperOS dan banyak lagi.

Xiaomi Watch S3 didatangkan dalam pilihan kerangka berwarna perak dan hitam. Namun apa yang menjadikannya menarik ialah bezel yang boleh ditukar ganti dengan mudah mengikut kesesuaian gaya semasa. Ia diperbuat daripada logam yang kemudiannya turut boleh menukar antaramuka jam secara automatik berdasarkan warna dan gaya bezel semasa.

Seterusnya Watch S3 juga menjadi yang terawal menjalan sistem operasi HyperOS, yang sepatutnya menawarkan pengalaman sambungan lebih baik diantara pelbagai peranti dalam ekosistem Xiaomi. Pada masa sama terdapat juga sokongan eSIM sekaligus membolehkan panggilan telefon dilakukan dari pergelangan tangan.

Turut disertakan ialah sensor pemantauan kesihatan serta kecergasan terbina termasuklah sokongan ECG yang amat berguna bagi memantau rentakj degupan jantung masa nyata. Bateri disertakan pula boleh bertahan hingga 15 hari dengan sekali pengecasan, sementara itu ciri NFC terbina juga boleh digunakan untuk pembayaran mudah alih.

Melengkapinya lagi adalah skrin AMOLED sebesar 1.43-inci dengan kadar segar semula 60Hz dan kecerahan puncak 600nits. Di China jam tangan ini dijual bermula CNY799 (~RM522) kemudiannya meningkat kepada CNY999 (~RM653) untuk versi eSIM.

Komen