Carian
Airbus Permudahkan Proses Menerbangkan Helikopter Dengan Satu Alat Kawalan
October 27, 2023 Effi Saharudin

Airbus telah mempermudahkan proses menerbangkan helikopter dengan ia hanya memerlukan satu alat kawalan. Helikopter secara lazimnya memerlukan satu alat kawalan arah, satu alat kawalan untuk naik dan turun dan satu alat kawalan mengoleng menggunakan kaki. Ini membuatkan proses menerbangkan helikopter bukan sahaja kompleks tetapi memenatkan.

Sistem kawalan terbang-dengan-wayar (fly-by-wire) digunakan dalam sistem baharu ini sama seperti sistem FBW yang digunakan pada pesawat komersial Airbus. Satu kayu kawalan menggantikan ketiga-tiga alat kawalan helikopter standard. Walaupun diuji pada sebuah helikopter, sistem ini sebenarnya dibangunkan untuk teksi terbang CityAirbus NextGen yang pernah diperlihatkan oleh mereka sebelum ini.

Dengan sistem kawalan ini, Airbus berharap teksi terbang mereka kelak boleh diterbangkan dengan lebih mudah, mengurangkan kepenatan kepada juruterbang dan menjadi lebih selamat. Terdapat beberapa sistem FBW seperti yang digunakan oleh Bell Boeing tetapi hanya sitem Airbus sahaja yang memerlukan satu alat kawalan sahaja.

Komen