Xiaomi telah pun memperkenalkan secara rasminya sistem operasi baharu mereka yang bakal menguasakan pelbagai peranti, dinamakan HyperOS. Untuk makluman, sistem operasi ini bukan sahaja untuk telefon pintar, tetapi akan menguasakan pelbagai peranti keluaran Xiaomi, termasuk jam tangan pintar, televisyen dan peranti berhubung lain.

Xiaomi menyatakan HyperOS telah dalam pembangunan sejak 2017 yang lepas dan bertujuan untuk menyatukan semua ekosistem peranti Xiaomi dibawah satu sistem. Ini sekaligus membolehkan penawaran prestasi yang berkuasa, serta memastikan antaramuka dan pengalaman yang selari pada pelbagai peranti.
Xiaomi menyatakan HyperOS menggunakan teras berasaskan Linux melalui AOSP, dan menyatukan ia bersama sistem yang dibangunkan Xiaomi sendiri, dinamakan Vela. Untuk makluman, platform Vela dibangunkan berasaskan NuttX. Ia dibangunkan dengan kebolehan menyokong lebih 200 platform cip pemprosesan, lebih 20 piawaian sistem fail, serta boleh dijalankan pada peranti dengan memori serendah 64KB sehingga 24GB RAM.
Berkongsi berkenaan saiz sistem failnya pada telefon pintar, Xiaomi menyatakan HyperOS membawakan saiz sekitar 8.75GB sahaja – jauh lebih baik dan ringan berbanding pelbagai pesaing lain di pasaran.

Dengan langkah ini juga, Xiaomi boleh menawarkan pengalaman ekosistem lebih baik. Ini termasuk kemudahan untuk bertukar kamera antara peranti ketika telesidang dengan mudah, memindahkan kandungan dari satu peranti ke yang lain, atau mengakses peranti lain yang dihubungkan dari satu peranti pada bila-bila masa.
Xiaomi HyperOS ini juga dijangka bakal menguasakan kereta keluaran Xiaomi kelak.
Bersama pengenalan sistem operasi ini, ia hadir terbina bersama Xiaomi 14, Xiaomi Watch S3 dan juga Xiaomi TV S Pro 85” mini LED. Pihak Xiaomi menyatakan ia akan ditawarkan kepada pengguna global bermula 2024 kelak.