Semasa iOS 17 diumumkan, terdapat sebuah aplikasi baharu diperkenalkan oleh Apple, iaitu Journal. Melaluinya Apple ingin mengembalikan semula aktiviti menulis jurnal atau catatan sebagai aktiviti harian yang suatu ketika dahulu adalah perkara normal sebelum menjadi blog, sekaligus turut dijangka diintegrasikan bersama ciri kesejahteraan mental.
Hari ini aplikasi Journal akhirnya mula ditawarkan, tetapi buat masa ini terhad kepada pengguna iOS 17.2 Beta 1 sahaja. Aplikasi ini membenarkan pengguna memasukkan gambar, meletakkan muzik yang didengari, aktiviti senaman, rakaman audio, mencatat detik penting dan turut menerima cadangan topik untuk menulis sesuatu.
Aplikasi ini turut disulitkan secara menyeluruh dan tidak boleh diakses oleh sesiapa. Hanya yang menulis sahaja mempunyai akses, dan boleh membaca catatan. Segala perkara berlaku dalam peranti dan aplikasi turut dikunci dengan biometri seperti pin atau Face ID. Apple iOS 17.2 dijangka akan diedarkan kepada umum sekitar bulan November dan Disember nanti, sekaligus mungkin membuka akses Journal kepada semua pengguna seluruh dunia.