Carian
Skor Penanda Aras Meniriskan Ketibaan CPU Raptor Lake Refresh Intel Core i7-14700HX
October 27, 2023 Nazrin

Pada minggu lepas, Intel telah melancarkan siri cip pemprosesan desktop generasi ke-14 mereka yang dinamakan Raptor Lake Refresh. Terkini, skor penanda-aras untuk sebuah lagi cip pemprosesan Intel generasi ke-14 diperlihatkan, tetapi kali ini untuk komputer riba.

Cip pemprosesan yang diperkatakan ialah Intel Core i7-14700HX yang ditemui di laman web penanda-aras PugetBench, yang mana ia diuji dengan penanda-aras penggunaan perisian Adobe PhotoShop.

Apa yang diketahui mengenai cip pemprosesan komputer riba ini ialah ia merupakan model HX, yang secara lazimnya digunakan untuk sistem komputer riba berkuasa tinggi, seperti komputer riba gaming dan juga produktiviti profesional.

Jika dibandingkan dengan CPU Intel yang sama sebelum ini, iaitu Intel Core i7-13700HX, ia dijangka hadir dengan lapan teras prestasi (P-cores) dan lapan teras kecekapan (E-cores), tetapi oleh kerana kesemua cip Raptor Lake Refresh mempunyai 50 peratus lebih banyak teras berbanding model sebelumnya, ia boleh dijangka bahawa CPU untuk kelas komputer riba ini juga mungkin akan hadir dengan penawaran teras yang sama, dan untuk kes Intel Core i7-14700HX ini, sebanyak 8 teras P-core dan 12 teras E-core.

Setakat ini ia masih tidak diketahui lagi bilakah Intel akan mula mengumumkan kehadiran CPU Raptor Lake Refresh, tetapi dengan cip pemprosesan komputer Meteor Lake dijangka tiba pada penghujung bulan Disember ini, ia mungkin akan diperlihatkan terlebih dahulu sewaktu acara CES 2024 di Las Vegas tidak lama lagi.

Komen