Carian
Xiaomi Menyertakan Ciri Menjana Imej Dengan AI Generatif Akan Pada Xiaomi HyperOS
October 27, 2023 Fahim Zahar

Xiaomi kini telah pun melancarkan peranti Snapdragon Gen 3 pertama di dunia, iaitu siri Xiaomi 14. Peranti ini turut menjadi peranti pertama Xiaomi dengan ciri AI generatif terbina. Namun ciri ini masih lagi dalam pembangunan dan akan diintegrasikan dalam kemaskini HyperOS suatu hari kelak.

Menurut laporan The Verge, ciri AI generatif oleh Xiaomi ini memerlukan pengguna memuat-naik beberapa gambar sendiri. Ia kemudian akan diproses untuk menjana imej baharu yang akan menggantikan latar belakang seakan berada di lokasi berbeza – misalnya di kawasan pergunungan atau di hadapan menara Eiffel. Pengguna turut boleh mengubah gambar subjek memakai pakaian berbeza dan banyak lagi.

Dengan ciri ini pengguna boleh berkongsi gambar di media sosial seolah-olah mereka telah merantau di seluruh dunia. Hasil imej yang diperlihatkan Xiaomi turut kelihatan realistik. Versi global HyperOS hanya akan diperkenalkan pada awal tahun 2024, sama-sama kita nantikan sama ada adakah ciri ini akan disertakan sekali atau terhad di China sahaja.

Komen