Elon Musk kini mungkin sangat dikenali sebagai pemilik X, CEO Tesla dan juga SpaceX, tetapi nama beliau mula dikenali sebagai mogul teknologi apabila dia dan sekumpulan individu lain membangunkan X.com, sebelum ia dikenali sebagai PayPal.
Malah ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila platform media sosial X, yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter dijangka bakal tampil dengan sejumlah perkhidmatan kewangan dan perbankan seakan platform pembayaran digital PayPal.
Dalam sebuah mesyuarat yang membabitkan kesemua pekerja syarikat tersebut, Elon Musk telah menengahkan pelan beliau untuk menjadikan X sebagai sebuah super app, dan salah satu daripada ciri yang beliau mahu memperkenalkan ialah fungsi perbankan dan kewangan.
Sebelum ini juga ia pernah dilaporkan bahawa X akan memperkenalkan sejumlah fungsi kewangan dan perbankan pada aplikasi ini di masa hadapan, dan melalui mesyuarat tersebut, Elon Musk mengatakan bahawa beliau akan rasa sangat terkejut sekiranya ciri tersebut tidak diperkenalkan kepada semua pengguna X pada penghujung tahun hadapan.
Malah, cabaran Elon Musk kepada semua para pekerja X ialah dengan ciri kewangan yang ditawarkan kepada X, mereka tidak lagi perlu memiliki akaun bank lain, kerana ia akan menjadi hab kewangan yang juga terdiri daripada platform pelaburan, simpanan wang dan pinjaman kewangan.
Ini bukanlah sebuah idea yang baru dari Elon Musk. X kini dilihat sedang meminta kebenaran untuk membangunkan fungsi penghantaran wang dari hujung-ke-hujung di seluruh Amerika Syarikat, dimana ia kemudiannya dijangka akan meminta pula kelulusan untuk mendapatkan lesen perbankan.