Carian
GXBank Memulakan Ujian Beta – Kini Membuka Pendaftaran Minat Untuk Mengujinya
October 27, 2023 Aman

GXBank, iaitu bank digital yang dikuasakan oleh Grab kini dilihat telah pun memulakan ujian beta untuk aplikasi mereka. Melalui notis di web rasmi, GXB menyatakan mereka sedang menguji dan menambah-baik perkhidmatan berkenaan, sebelum menawarkan ia kepada pengguna awam.

Selari dengannya juga, GXBank memperlihatkan penawaran aplikasi dan apakah yang bakal dibawakan oleh aplikasi tersebut. Melalui perkongsian aplikasi berkenaan, ia memperlihatkan akan menawarkan kadar faedah 3.% p.a, dan deposit yang disimpan dilindungi oleh PIDM.

Untuk permulaan juga, GXBank menyatakan akaun boleh dibuka dalam masa kurang 4 minit, dan apabila pengguna memasukkan deposit RM100 akan menerima pulangan tambahan RM20. Disamping itu, pengguna juga akan menerima langganan GrabUnlimited selama 6 bulan secara percuma apabila pautkan akaun GXBank ke Grab.

Buat masa ini, GXBank telah membuka pendaftaran minat untuk mereka yang berminat mengujinya. Namun, daripada ujian kami, hanya pengguna di iPhone sahaja boleh mendaftar minat untuk menguji, sementara pengguna di Android tidak boleh mengakses sokongan pendaftaran minat lagi.

Apa pun, dengan perkembangan baharu ini, mungkin kita akan melihat pengenalan rasmi GXBank dalam ujian beta terbuka tidak lama lagi. Bagi anda yang berminat, boleh menyemak penawaran GXBank ini melalui web rasmi, atau daftar minat di aplikasi iPhone. Aplikasi Android masih tidak aktif lagi buat masa ini.

Komen