Perbandingan Snapdragon 8 Gen 3, A17 Pro, 8 Gen 2, A16 Bionic Dan Dimensity 9200+
Effi Saharudin
Minggu lalu kami berkesempatan menghadiri acara Snapdragon Summit yang berlangsung di Hawaii. Di acara tersebut Qualcomm berkongsi markah penanda aras yang dicatatkan oleh Snapdragon 8 Gen 3 secara rasmi dengan wakil media.

Maka persoalan biasa ialah sejauh manakah kemampuan cip ini jika dibandingkan dengan Apple A17 Pro, Apple 16 Bionic, Dimensity 9200+ dan Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy. Kesemua markah yang dipaparkan dalam artikel ini ialah menggunakan peranti yang kami miliki dengan versi sistem operasi yang terkini.
Penafian di sini ialah tiada sesi melakukan sendiri ujian penanda aras pada peranti prototaip Qualcomm. Kesemua markah diberikan kepada kami oleh wakil Qualcomm. Ini berbeza dengan Snapdragon Summit terdahulu di mana media dibenarkan melakukan sendiri ujian penanda aras pada peranti prototaip yang disediakan.

Bagi yang tertanya-tanya, di atas ialah peranti prototaip Snapdragon 8 Gen 3 yang sempat kami lihat dan pegang. Ia kelihatan seperti sebuah peranti generik dengan tri-kamera yang saiz sensornya tidak pula didedahkan. Bingkai logam dipadankan dengan panel belakang kaca.
Markah
Berikut ialah markah penanda aras Snapdragon 8 Gen 3 dibandingkan dengan A17 Pro (iPhone 15 Pro Max), A16 Bionic (iPhone 14 Pro Max), Dimensity 9200+ (Xiaomi 13T Pro) dan Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy (Samsung Galaxy Z Fold5).
Geekbench 6
- Snapdragon 8 Gen 3 – 2329/7526
- Apple iPhone 15 Pro Max – 2873/7228
- Apple iPhone 14 Pro Max – 2634/6761
- Samsung Galaxy Z Fold5 – 1991/5221
- Xiaomi 13T Pro – 1284/3520
AnTuTu 3D
- Snapdragon 8 Gen 3 – 2,200,000
- Apple iPhone 15 Pro Max – 1,523,961
- Apple iPhone 14 Pro Max – 1,457,779
- Samsung Galaxy Z Fold5 – 1,488,776
- Xiaomi 13T Pro – 1,431,444
3DMark Wild Life Extreme
- Snapdragon 8. Gen 3 – 32 FPS
- Apple iPhone 15 Pro Max – 22.1 FPS
- Apple iPhone 14 Pro Max – 15.9 FPS
- Samsung Galaxy Z Fold5 – 23.03 FPS
- Xiaomi 13T Pro – N/A
Kesimpulan
Dalam ujian Geekbench 6, kelebihan masih dilihat pada cip A17 Pro dan A16 Pro. Namun begitu dalam ujian multi teras, 8 Gen 3 mencatatkan markah lebih tinggi berbanding A16 Bionic dan 8 Gen 2. Tetapi dalam ujian-ujian lain yang kami jalankan 8 Gen mencatatkan markah yang paling tinggi. Di antara kelima-lima cip yang kami uji, MediaTek Dimensity 9200+ mencatatkan skor yang paling rendah. Ini membuatkan kami ternanti-nanti pelancaran Dimensity 9300 pada 6 November yang adalah pesaing sebenar kepada 8 Gen 3 dan A17 Pro.

Seperti yang kami terangkan dalam laporan pelancaran 8 Gen 3 sebelum ini, cip ini memberikan tumpuan kepada prestasi kecerdasan buatan (AI) dan bukan sekadar prestasi CPU dan GPU. Kami akan terbitkan sebuah lagi artikel mengenai demo AI yang sempat kami mainkan di Snapdragon Summit lekak kerana terdapat banyak perkara menakjubkan melibatkan AI pada cip ini.
Sekali lagi harus ditegaskan skor Snapdragon 8 Gen 3 yang diterbitkan ini semua diberikan oleh Qualcomm. Kami berharap dapat menguji cip ini sekali lagi apabila Xiaomi 14 mula dipasarkan di Malaysia dalam masa terdekat.