Tidak dinafikan dalam era rakyat yang kini celik tekologi, sistem pembayaran nirtunai atau cashless sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan. Malah urus niaga sebegini lebih mudah dan cepat kerana tidak perlu berurusan dengan wang kertas, serta berkesan meminimumkan risiko keselamatan.
Hasil daripada itu kadar penggunaan nirtunai di Selangor dan Pulau Pinang kini telah melepasi 80% secara keseluruhannya. Perkara ini telah dinyatakan dalam Majlis Penyampaian Hadiah Kempen “Cashless Boleh 3.0” di Auditorium Kementerian Kewangan pada hari ini. Pencapaian ini menunjukkan rakyat negara ini semakin beralih ke kaedah transaksi tanpa tunai yang dianggap lebih cekap, praktikal, pantas dan memudahkan pelbagai pihak.
Selain daripada itu kadar penembusan pembayaran digital dalam sektor awam juga menunjukkan peningkatan mencapai 81.3%. Sekaligus menjadikannya sebagai modal peningkatan lebih 22% di peringkat persekutuan dan negeri daripada 58.8% sejak 2021. Selain itu juga lapan kementerian dan agensi sektor awam termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang sebelum ini berasaskan transaksi tunai telah beralih sepenuh ke arah pembayaran digital.
Dalam majlis yang sama turut diadakan sesi penyerahan hadiah dan sijil penghargaan kepada agensi dan kementerian kerajaan yang berjaya memacu pengunaan pembayaran digital sepanjang tempoh kempen Cashless Boleh 3.0. Untuk rekod kempen ini telah diadakan sehingga Mei 2023 yang disifatkan sebagai salah satu usaha memupuk kesedaran dan menggalakkan tabiat nirbayar dalam kalangan rakyat.