Syarikat-syarikat teknologi China telah memperlihatkan banyak sekatan dilakukan keatas mereka oleh kerajaan Amerika Syarikat dan juga sekutu-sekutu mereka. Tetapi baru-baru ini, syarikat seperti SMIC, syarikat pembuat cip semikonduktor terbesar di China telah memperlihatkan kemampuan mengilang cip menggunakan teknologi 7nm yang dimanfaatkan oleh Huawei.
Terkini, salah seorang bekas timbalan presiden TSMC, Burn J. Lin mengatakan bahawa ia kini sangat sukar untuk kerajaan menghentikan kemaraan syarikat pembuat cip semikonduktor China khususnya kerana mereka kini sudahpun mempunyai kebolehan dan kepakaran untuk terus membangunkan kelengkapan membuat cip yang lebih maju.
Malah, SMIC menggunakan kelengkapan litografi AMSL Twinscan NXT :2000i yang dilihat mampu menghasilkan cip pemprosesan pada skala 7nm dan 5nm, bermakna bahawa SMIC tidak lama lagi dijangka boleh mengeluarkan cip pemprosesan dengan teknologi 5nm juga tidak lama lagi.

Kini, SMIC dilihat bertanggungjawab membangunkan cip pemprosesan Huawei 990, dan telah berjaya untuk mengeluarkan sebanyak 70 juta cip pemprosesan untuk peranti-peranti jenama tersebut. Peralihan ke proses 5nm dilihat akan semakin sukar, tetapi SMIC mempunyai beberapa cara untuk memastikan bahawa mereka berjaya mengeluarkan cip-cip pemprosesan generasi terbaru.
Lin mengatakan bahawa apa yang lebih penting untuk Amerika Syarikat ialah mengekalkan kedudukan utama dalam rekaan cip dan tidak menyekat logistik pengeluaran teknologi pasaran China, kerana ia adalah sesuatu yang sia-sia.
Industri IT kini dilihat sangat mementingkan gabungan prestasi dan juga kecekapan penggunaan tenaga, ia dilihat bahawa cara terbaik untuk mengurangkan kebergantungan kepada pengeluaran teknologi China ialah untuk memastikan bahawa penawaran daripada syarikat-syarikat komponen teknologi yang lain adalah lebih baik lagi.