Samsung hari ini membuat kejutan dengan memperkenalkan sebuah variasi baharu telefon boleh-lipat mereka, iaitu Galaxy Z Flip5 Retro. Telefon pintar ini akan dijual dibeberapa buah negara bermula 1 November, termasuk Korea Selatan, Jerman, Sepanyol, Australia dan Perancis.
Samsung Galaxy Z Flip5 Retro ini mengambil inspirasi daripada salah satu telefon bimbit popular Samsung sekitar dua dekad lepas, iaitu SGH-E700. Galaxy Z Flip5 Retro ini membawakan gabungan warna biru dan perak yang sedia menjadi identiti SGH-E700 sebelum ini. Pada masa yang sama, beberapa elemen antaramuka berasaskan grafik pixel turut ditambah pada edisi Retro ini – terutamanya pada animasi di Flex Window, sekaligus memberikan kembali nostalgia telefon dahulu.
Disamping itu, dalam kotak pembelian juga Samsung menyertakan beberapa kandungan tambahan, termasuk perlihatkan evolusi logo Samsung dahulu dan kini.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi perancangan Samsung untuk menawarkan model ini untuk pasaran tempatan atau tidak.