Apple hari ini mengadakan acara khas memfokuskan Mac, dan menjadi fokus utama ketika pelancaran berkenaan adalah siri cip pemprosesan baharu. Sebanyak tiga cip baharu diumumkan, iaitu Apple M3, Apple M3 Pro dan juga Apple M3 Max.

Ketiga-tiga cip ini hadir dengan binaan berasaskan 3-nanometer, sekaligus membawakan penggunaan tenaga dan kuasa pemprosesan lebih efisien berbanding sebelum ini.
Agak mengejutkan siri M3 Pro dan M3 Max turut diperkenalkan kali ini – memandangkan siri M2 Pro dan M2 Max turut diperkenalkan pada tahun ini juga.
Apple M3 hadir dengan cip 8 teras yang digabungkan bersama GPU 10-teras, dan memori 24GB. Sementara Apple M3 Pro pula hadir dengan cip 12-teras, GPU 18-teras, dan memori sehingga 36GB.

Yang paling berkuasa antara ketiga-tiga ini adalah M3 Max. Ia hadir dengan cip 16 teras CPU, 40 teras GPU dan memori sehingga 128GB. Apple M3 Max dikatakan ia menawarkan kuasa pemprosesan lebih 40 kali ganda berbanding M1 sebelum ini.
Apple turut memfokuskan kepada kemaskini sokongan GPU melalui cip pemprosesan ini – termasuk sokongan seperti ray-tracing, Dynamic Caching GPU, selain sokongan Neural Engine lebih baik bersama cip pemprosesan ini.
Antara produk baharu yang hadir bersama cip ini terbina adalah Apple MacBook Pro dan juga Apple iMac.