Pada minggu lepas, Qualcomm telah memperlihatkan sejumlah cip pemprosesan baru untuk pelbagai jenis peranti, dan diantaranya ialah Qualcomm Snapdragon X Elite, yang dibangunkan untuk berentap melawan cip-cip yang dikeluarkan oleh Apple, Intel dan juga AMD, khusus untuk peranti kelas komputer riba dan komputer desktop.

Terkini, cip pemprosesan tersebut nampaknya telah melalui beberapa ujian penanda-aras grafik, khususnya untuk menguji kemampuan cip grafik Adreno terbina, yang dikatakan menandingi kemampuan grafik sebuah konsol Microsoft Xbox Series S.
Dua perisian yang digunakan untuk menanda-aras cip ini ialah 3DMark Wild Life Extreme dan juga permainan komputer Control. Dengan perisian 3DMark, cip Snapdragon X Elite dilihat hadir dengan kadar bingkai purata 39.2FPS, yang mana ia adalah hampir 12FPS lebih tinggi berbanding dengan cip grafik AMD Radeon 780M dan hanya sedikit rendah berbanding dengan cip pemprosesan Apple M2.

Dengan ujian permainan komputer Control (1080p) pula, cip grafik Snapdragon X Elite dilihat boleh menggerakkan permainan tersebut pada kadar bingkai purata 53FPS dan menggunakan sebanyak 23W kuasa. dan prestasi ini dilihat menghampiri prestasi cip pemprosesan AMD Ryzen 7 7840HS dan Apple M2.

Ia dijangka bahawa SoC Qualcomm Snapdragon X Elite ini akan boleh dimanfaatkan oleh komputer-komputer riba kelas Chromebook dan Windows for ARM yang akan memberikannya prestasi sama seperti apa yang diperlihatkan pada komputer-komputer riba seperti Apple Macbook dan sebagainya.