Carian
Ulasan HONOR X9b 5G – Iterasi Kedua Peranti Lasak Yang Masih Memerlukan Sentuhan Tambahan
November 2, 2023 Nazrin

Jika anda sedang mencari sebuah peranti pintar 5G baru yang tidak terlalu merobek akaun bank anda, HONOR hari ini telah melancarkan peranti pintar 5G mampu-milik terbaru mereka, iaitu HONOR X9b 5G, yang juga hadir dengan sejumlah gimik yang menarik.

Spesifikasi

HONOR 90
Skrin6.78″ AMOLED, 1220 x 2652, 120Hz
PemprosesSnapdragon 6 Gen 1
Cip4x 2.2 GHz Cortex-A78
4x 1.5 GHz Cortex-A55
Cip GrafikAdreno 710
RAM12GB + 8GB Maya
Muatan Dalaman256 GB
Kamera Utama108MP f/1.75 OIS (Sudut Lebar)
5MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
2MP f/2.4 (Makro)
Kamera Swafoto15 Megapixel f/2.45
Bateri5800 mAh
Pengecasan berwayar 35W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM 1499

Rekaan Dan Skrin

Bermula dengan paparan skrin HONOR X90b 5G ini, ia tampil dengan paparan skrin AMOLED bersaiz 6.78 inci dengan resolusi 1200×2652 dengan kadar segar semula 120Hz dan mampu mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3. Paparan skrin ini adalah yang sama digunakan pada peranti Honor X9b sebelum ini, dan salah satu dakwaan utama oleh HONOR ialah ia adalah sebuah skrin yang sangat tahan lasak.

Dari segi rekaan pula, keunikan HONOR X9b ini hadir dari rekaan belakang peranti ini, yang dilihat hadir dengan tiga corak berbeza. Ini termasuklah rekaan Sunrise Orange yang menggunakan kulit tiruan, Titanium Silver yang memberikan kilauan unik, dan Midnight Black, jika anda mahukan sebuah peranti dengan rekaan klasik.

Juga di bahagian belakang peranti ini ialah sistem kamera tri-kamera yang terdiri daripada kamera utama 108MP, kamera ultra-lebar 5MP dan kamera makro 2MP. Kesemua lensa kamera ini dirumahkan di dalam sebuah ruangan yang memakan 1/3 daripada bahagian belakang peranti tersebut.

Butang-butang kuasa dan laras kelantangan audio juga dimuatkan di sebelah kiri peranti, manakala palam USB Type-C dibawah peranti membolehkan peranti ini dicas dengan pengecas 35W.

Keunikan peranti HONOR X9b 5G ini hadir melalui gabungan paparan skrin dan juga rekaannya yang dinamakan HONOR Ultra-Bounce, yang memastikan bahawa bahagian skrin dan juga rangka peranti ini adalah tahan lasak dan hentakan.

Honor X9b 5G merupakan peranti pertama di dunia yang hadir dengan penarafan All-Angle Drop Resistance yang disahkan oleh SGS Industry di Switzerland. Ini bermakna bahawa bahagian paparan dan juga sisi rangka peranti ini adalah tahan lasak, dan perkara ini kami akan terangkan sedikit di bawah.

Perisian

HONOR X9b 5G menggunakan sistem operasi MagicOS 7.2 yang berdasarkan Android 13. Antaramuka sistem operasi ini pada pendapat saya bersih, dan tidak terlalu banyak aplikasi gendut yang diperlihatkan. Dengan gabungan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 6 Gen1, menatal skrin peranti ini juga sangat lancar, dan tiada masalah tersekat-sekat.

Dua ciri yang mungkin akan menarik minat anda, khususnya jika anda juga menggunakan komputer riba ataupun tablet oleh HONOR ialah fungsi HONOR Connect dan HONOR Share yang membolehkan anda untuk berkongsi fail dengan peranti-peranti HONOR yang lain, dan juga berkongsi skrin peranti pintar ini dengan skrin tablet ataupun komputer riba HONOR anda.

Sayangnya seperti apa yang ditawarkan oleh jenama-jenama seperti Apple dan Huawei melalui ciri perkongsian fail antara peranti mereka, ia hanya terhad kepada peranti dengan jenama yang sama, jadi jika anda hanya menggunakan peranti pintar HONOR sahaja, bagi saya ia tidak memanfaatkan kemampuan sebenar peranti ini.

Pengalaman Penggunaan

Untuk penggunaan dari hari ke hari, HONOR X9b ini merupakan sebuah peranti yang cukup baik. Bagi saya, tiada lengah masa dari segi penggunaan aplikasi-aplikasi asas seperti WhatsApp, Facebook, X dan sebagainya.

Peranti ini juga sesuai digunakan untuk menonton video dari platform penstriman seperti YouTube, Netflix dan Prime Videos sebagai cara untuk meluangkan masa. Tiada isu seperti tidak mempunyai kodek video yang diperlukan untuk menggerakkan aplikasi-aplikasi tertentu, malah apabila saya menyahkotak peranti ini untuk kali pertama, aplikasi Netflix sudahpun dimuatkan di dalam peranti ini, dan saya hanya perlu melog masuk akaun saya untuk menggunakannya.

Satu kekurangan yang mungkin akan nampak ketara dari segi prestasi peranti ini adalah dari aspek gaming. Paparan skrin gaming ini dilihat hadir dengan kadar segar semula 120Hz, akan tetapi peranti ini rata-rata tidak akan dapat memanfaatkannya dengan kebanyakan permua-permua moden.

Jika anda seorang penggemar permua seperti Genshin Impact, HONOR X9b ini akan sesak nafas untuk cuba menggerakkan permainan ini walaupun dengan grafik rendah atau sederhana. Tetapi untuk permainan seperti Honkai Star Rail ataupun Bloons TD6 (salah satu permua kegemaran saya sekarang) boleh dimainkan oleh peranti ini dengan lengah masa minima.

Tahan Lasak

Satu lagi keunikan HONOR X9b ini ialah ketahanan lasaknya dari hampir semua arah. Secara lazimnya hanya bahagian paparan skrin yang akan menunjukkan ketahanan yang baik, tetapi dengan rekaan HONOR Ultra-Bounce, bahagian sisi rangka peranti ini juga dilihat tahan lasak.

Ini dibuktikan sewaktu acara media HONOR X9b yang kami hadiri tempoh-hari, dimana HONOR Malaysia memperlihatkan ketahanan paparan skrin dan rangka peranti ini dengan membenarkan kami mematahkan panel-panel kayu dan juga menembak bahagian skrin menggunakan bebola cat.

Menariknya, walaupun selepas beberapa kali dihentak dan ditembak, HONOR X9b ini tiada sebarang cacat cela, dan boleh digunakan tanpa masalah. Jika anda tanyakan kepada saya, tiada peranti yang benar-benar kalis jatuh ataupun hentakan, dan kebarangkalian bahawa retakan skrin boleh berlaku masih tinggi jika tidak berhati-hati.

Walaupun begitu, ketahanan tambahan pada peranti ini, khususnya apabila ia juga dipadankan dengan selongsong peranti akan memastikan bahawa ianya tahan lebih lama, walaupun pengguna peranti ini seorang yang sering terlepas tangan apabila memegang peranti.

Oleh kerana ini, sekali lagi saya katakan bahawa HONOR X9b ini adalah peranti yang sangat sesuai digunakan oleh kanak-kanak, orang tua dan juga mereka yang bernasib malang dan sering menjatuhkan peranti mereka dengan tidak sengaja.

Kamera

HONOR X9b 5G tampil dengan sistem tri-kamera dimana kamera utamanya hadir dengan sensor utama 108MP, sensor ultra-lebar 5MP dan sensor makro 2MP. Dari segi kualiti gambar, kamera ini dilihat mampu mengambil gambar dengan kualiti yang tajam, tetapi mempunyai saturasi warna yang kurang menyerlah, walaupun dengan bantuan kecerdasan buatan terbina.

Bateri

Satu lagi kelebihan pada peranti HONOR X9b 5G ini ialah ketahanan bateri yang lama, berterima kasih kepada bateri bersaiz 5800mAH yang gergasi ini. HONOR menjanjikan ketahanan bateri selama tiga hari dengan satu pengecasan penuh pada bateri ini, dan ini bergantung kepada mod bateri yang anda gunakan, sama ada anda menggunakan mod biasa, mod prestasi ataupun mod simpanan kuasa (jangkahayat bateri paling panjang).

Untuk sebuah peranti dengan bateri yang besar sebegini, ia sedikit mengejutkan bahawa ia hanya hadir dengan sokongan pengecasan 35W sahaja. HONOR 90 yang diulas kami sebelum ini dengan 4900mAH juga mempunyai pengecasan pantas 66W.

Penanda Aras

Ini adalah skor untuk tiga perisian penanda-aras yang digunakan untuk menguji prestasi peranti HONOR X9b 5G ini:

Geekbench 6

AnTutu Benchmark

3DMark Wildlife

Audio

HONOR X9b hadir dengan pembesar suara mono di sebelah pengecas USB Type-C, dan seperti dijangka, kualiti audio yang dihasilkan adalah ala-kadar sahaja. Walaupun begitu, ia cukup lantang, dan boleh dimanfaatkan untuk memainkan kandungan walaupun anda tidak berada di hadapan peranti.

Seperti 95 peratus peranti pintar di pasaran sekarang, HONOR X9b tidak mempunyai palam audio 3.5mm terbina, dan ini bermakna anda akan perlu untuk membeli fon telinga TWS untuk mendengar audio secara bersendirian.

Dalam Kotak

Berikut adalah apa yang ada dalam kotak untuk unit ujian HONOR X9b:

  • 1x HONOR X9b
  • 1x pengecas 35W
  • 1x kabel USB-A ke USB-C
  • 1x Pin SIM
  • 1x kerangka silikon
  • 1x buku panduan

Penutup

Pada harga RM1499, saya rasa sedikit sukar untuk saya nyatakan pendapat saya samada peranti HONOR X9b 5G ini adalah berbaloi untuk harganya. Berdasarkan prestasi peranti ini sahaja, cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 6 Gen1 yang digunakan, digabungkan bersama memori 12GB dan storan 256GB boleh menggerakkan kebanyakan aplikasi tanpa begitu banyak masalah.

Akan tetapi tiba masa anda mahu aplikasi ini melakukan tugas yang lebih mencabar, seperti menggerakkan permua-permua moden, kelemahan cip pemprosesan yang digunakan mudah dilihat, dan bagi saya ini boleh menyebabkan rasa kecewa.

Dengan jumlah wang tersebut, anda boleh membeli peranti-peranti yang menggunakan SoC yang lebih berkuasa, tetapi ada masa yang sama, ciri seperti ketahanan semua-sisi HONOR Ultra-Bounce yang memastikan keseluruhan peranti anda lebih selamat dan tahan lasak juga bukanlah sesuatu yang boleh diendahkan sewenang-wenangnya, khususnya sekiranya anda ataupun ahli keluarga anda tidak berjaga-jaga dan seringkali menjatuhkan peranti-peranti pintar mereka.

Pro

  • Peranti yang sangat tahan lasak
  • Bateri besar dan tahan lama
  • Skrin cerah dan boleh mengolah warna dengan baik
  • Rekaan menarik

Kontra

  • Kamera tajam, tetapi olahan warna yang tidak cantik
  • Prestasi memuaskan, tetapi tidak cukup baik
  • Pengecasan perlahan

Komen