Carian
Ujian Suntikan Insulin Seminggu Sekali Untuk Pesakit Diabetes Didapati Berkesan
October 31, 2023 Effi Saharudin

Pesakit diabetes jenis 1 perlu menyuntik insulin dengan kekerapan sehingga lima kali sehari. Ini mendatangkan isu kepada pesakit yang berusia kerana mereka mungkin terlupa. Tetapi insulin baharu yang diberi nama Icodec telah dibangunkan beberapa tahun lalu dan ia kini baru sahaja melepasi ujian klinikal fasa ketiga dengan jayanya.

Dalam ujian yang dilakukan oleh University of Surrey melibatkan 582 peserta selama 26 minggu, perbezaan tahap keseriusan diabetes tahap satu antar mereka yang menerima Icodec seminggu sekali dan suntikan harian hanyalah 0.05%. Ini menurut penyelidik ialah peratusan perbezaan yang terlalu kecil untuk mendatangkan kesan kepada kesihatan. Dengan itu Icodec mempunyai tahap keberkesanan yang sama dengan suntikan harian.

Icodec berbeza dengan insulin biasa kerana mempunyai tempoh separuh hayat selama tujuh hari. Dengan itu insulin akan kekal di dalam tubuh dan hanya perlu disuntik seminggu sekali. Sungguhpun begitu Icodec masih lagi belum cukup sempurna kerana sepanjang ujian, insiden hipoglisemia berlaku dengan lebih kerap berbanding mereka yang menerima insulin harian. Lebih banyak ujian akan dilakukan sebelum suntikan insulin seminggu sekali ini boleh digunakan oleh semua pesakit dengan selamat.

Komen