Nyahkotak Samsung Soundbar Q990C – 22 Speaker Dengan Dolby Atmos
Ikhwan Nazri
Cuba bayangkan jika anda mempunyai 22 pembesar suara di rumah anda bagi mencapai kualiti audio bagaikan panggung wayang yang mampu membuatkan anda terdengar bisikan halus setiap perkara yang anda sedang tonton. Anda mungkin mahukan kualiti bunyi tersebut, namun 22 pembesar suara boleh menjadikan ruang tontonan anda berselirat dengan wayar. Atau jika anda lahir-lahir terus kaya, anda perlu mencari 22 pembesar suara tanpa wayar yang mungkin memakan kos.
Namun tahukah anda Samsung Soundbar Q990C ini bukanlah bermaksud 22 pembesar suara berasingan setiap satunya, akan tetapi dimuatkan didalam perumahnya tersendiri dengan satu subwoofer bagi memberikan kesan bunyi mendalam dan gema yang kuat di ruang tontonan anda. Dengan kombinasi soundbar, subwoofer dan dua speaker satelit, ia boleh menjadikan pengalaman audio anda lebih bermakna dan berkualiti, sekufu dengan kualiti video yang anda sedang tonton.
Selain dari itu, sistem soundbar ini juga menyokong Dolby Atmos, serta menyokong sistem tambatan audio lain yang popular seperti Spotify Connect, Chromecast Audio dan juga Apple AirPlay 2. Malah jika anda gunakan televisyen dari Samsung, tiada sebarang wayar diperlukan kerana Q Symphony membolehkan audio dimainkan terus. Pada harga RM 6,499 ini, Soundbar Q990C ini merupakan padanan terbaik untuk televisyen anda.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.