Amerika Dan 48 Sekutu Bertekad Tidak Akan Membayar Wang Tebusan Kepada Penggodam
Effi Saharudin
Insiden serangan perisian tebusan (ransomware) semakin meningkat dengan antara kes terbesar tahun lalu di Malaysia melibatkan RapidKL. Penggodam memasang aplikasi tebusan ini pada sistem yang diserang sebelum mengunci akses kepada data-data penting. Akses akan hanya dikembalikan selepas wang tebusan dibayar lazimnya dalam bentuk wang kripto. Terkini Amerika Syarikat dan negara-negara ahli Inisiatif Menentang Perisian Tebusan Antarabangsa (CRI) bertekad tidak akan lagi membayar wang tebusan kepada penggodam.

CRI berharap dengan keengganan membayar wang tebusan, ia akan membuatkan serang perisian tebusan tidak menguntungkan kepada kumpulan penggodam. Selain itu negara ahli CRI akan berkongsi maklumat serta teknik terkini bagi mengelakkan serangan perisian tebusan berlaku. Bantuan turut akan diberikan kepada anggota ahli apabila diperlukan.
Sebuah senarai hitam dompet kripto yang digunakan penggodam juga akan dihasilkan untuk menjejak pergerakan wang serta menghalang transaksi dengan pentas jika wang tebusan dibayar. Dua platform yang berkongsi data mengenai operasi kumpulan penggodam turut akan dilancarkan. Satu dikawal oleh Lithuania sementara satu lagi oleh Israel dan Emiriah Arab Bersatu.
Negara ahli CRI adalah Australia, Austria, Belgium, Brazil, Bulgaria, Kanada, Croatia, Czech Republic Czech, Republik Dominican, Estonia, Perancis, Jerman, India, Ireland, Israel, Itali, Jepun, Kenya, Lithuania, Mexico, Netherlands, New Zealand, Nigeria, Norway, Poland, Korea Selatan, Romania, Singapura, Africa Selatan, Sepanyol, Sweden, Switzerland, UAE, United Kingdom, Amerika Syarikat, Ukraine, dan EU.
[sumber] The Messenger [/sumber]