Carian
5 Pemenang Program Selangor E-Commerce Xccelerator (ECX) Bawa Pulang Hadiah RM25,000
November 1, 2023 Amy Maizuraa

Program intensif jangka pendek Selangor E-Commerce Xccelerator (ECX) akhirnya melabuhkan tirai secara rasmi dengan majlis pengumuman pemenang di Menara PNS, Bangsar South, Kuala Lumpur pada hari ini. Dianjurkan oleh SIDEC, program yang penuh dengan bimbingan dan sokongan professional itu Affin Bank Berhad (Affin Bank) sebagai penaja utama.

Perbentangan hari ini keseluruhannya dilihat memberi tumpuan kepada sektor perniagaan membabitkan kesihatan & kecantikan, pendidikan & pembelajaran, peralatan rumah, serta makanan & minuman. Melaluinya pelbagai idea dan gambaran yang dibentangkan oleh para finalis tentang perkhidmatan masing-masing, yang kemudiannya diadili pula secara teliti oleh barisan juri profesional.

Sebanyak lima pemenang telah diumumkan dengan masing-masing membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah RM25,000 termasuk pakej lawatan perniagaan ke Alibaba di China, wang tunai bernilai RM3,000 dan peluang pelaburan yang berpotensi. Selain daripada itu juga kesemua pemenang turut menerima trofi dan sijil penghargaan setiap satu. Berikut merupakan perbentangan idea oleh para pemenang:

  • The Pastels Shop, kesihatan dan kecantikan – Syarikat penjagaan kulit yang menghasilkan produk menggunakan pendekatan inovatif dan berasaskan sains terhadap kecantikan. Mereka menyediakan penyelesaian penjagaan kulit dengan membangunkan formula dalam penyelidikan saintifik menggunakan bahan semula jadi bebas kimia. Antara produk yang dihasilkan termasuklah pembersih muka, toner, serum, pelembap dan sebagainya.
  • Shapee, Kesihatan dan kecantikan – Syarikat yang menyediakan barisan produk bagi memenuhi keperluan para ibu semasa hamil dan tempoh selepas bersalin. Antaranya seperti seluar bersalin, balutan perut dan produk mandian pakai buang. Selain daripada itu mereka juga menawarkan platform pembelajaran digital kepada ibu bapa khususnya berkaitan kehamilan dan penjagaan anak bersama.
  • Nori Malaysia Sdn Bhd, Kesihatan & Kecantikan – Syarikat yang menyediakan dana, idea dan konsep untuk membantu membina perniagaan selebriti. Bermulah daripada pemasaran, perkhidmatan pelanggan dan pengurusan kewangan. Melaluinya juga mereka mempromosikan sesuatu produk itu secara aktif melalui pelbagai platform sama ada dalam dan luar talian, yang juga melibatkan pusat membeli belah seperti AEON.
  • Big Bath Sdn Bhd, Peralatan rumah – Syarikat yang menyediakan penyelesaian lengkap untuk barangan dapur atau bilik mandi. Melaluinya mereka bukan sahaja menawarkan produk berkualiti, malahan juga bertindak sebagai perunding yang memberi idea serta inspirasi untuk rumah impian pelanggan.
  • Sonobee Ultrasound Sdn Bhd, Kesihatan & Kecantikan – Syarikat yang menyediakan pelbagai perkhidmatan imbasan untuk pemeriksaan ibu mengandung. Ia termasuklah imbasan awal hingga 5D dan 4D, yang menggunakan teknologi ultrasound cannggih untuk hasil imbasan lebih tepat dan terperinci. Antara perkhidmatan imbasan yang ditawarkan termasuklah Nuchal Translucency Scan, Detail Scan Pregnancy, Dating Scan, Anomaly Scan, Antenatal Scan, Growth Scan, Anatomy Scan, Twin Ultrasound, dan Trimester Ultrasounds.

Pentas Final Demo Day ini juga telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, YB Ng Nze Han. Selain itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengarah Eksekutif, Perbankan Perusahaan Kumpulan, Affin Bank, Raymond Lee Wei Hwa, He dan Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping.

Untuk rekod sebanyak 200 permohonan telah diterima untuk program ini sejak dilancarkan pada Jun yang lalu, yang kemudiannnya hanya 30 syarikat telah disenarai pendek. Kesemua mereka telah melalui bimbingan daripada mentor berpengalaman, namun 10 syarikat terbaik sahaja berpeluang untuk mempamerkan idea pada Final Demo Day hari ini.

Komen