Carian
Disney Ingin Mengambil Alih Hulu Sepenuhnya Pada Harga $8.6 bilion
November 2, 2023 Effi Saharudin

Disney mengumumkan hasrat untuk mengambil alih sepenuhnya Hulu daripada Comcast. Mereka ingin membeli baki 1/3 saham yang dipegang oleh Comcast pada nilai $8.6 bilion. Ini dilihat sebagai strategi Disney+ untuk menyusun semula strategi penstriman mereka yang kini pertumbuhannya semakin perlahan pasca pandemik.

Nilai Hulu akan dinilai semula sebelum pembelian dimuktamadkan pada bulan Disember kelak. Sebelum ini Disney memegang 2/3 saham Hulu dengan kandungan mereka dipisahkan daripada Disney+ bagi membezakan siri TV atau filem yang tidak serasi untuk ditonton seisi keluarga.

Di Malaysia beberapa kandungan asli Hulu ditawarkan menerusi Disney+ Hotstar contohnya seperti filem Prey tahun lalu. Sejak tamatnya pandemik, jumlah peningkatan pelanggan baharu Disney+ mula perlahan dengan mereka mengambil strategi menawarkan pelan dengan iklan seperti Netflix. Harga juga telah dinaikkan tetapi Disney+ masih belum mencatatkan keuntungan. Sasaran asal ialah keuntungan akan dapat dicatatkan menjelang 2024 tetapi ini dilihat sebagai terlalu optimis dengan kandungan Disney semakin kurang mendapat sambutan.

Komen