Terdapat pelbagai teori mengenai kesan penggunaan telefon pintar kepada tubuh manusia. Rata-rata kajian yang dilakukan sebelum tidak menunjukkan penggunaan telefon selular menyebabkan kanser. Tetapi kajian terkini dari Switzerland menemukan kaitan antara penggunaan telefon selular dengan pengurangan jumlah sperma pada lelaki.
Saintis dari University of Geneva dan Institut Kesihatan Tropika dan Awam Switzerland melakukan kajian ke atas 3886 subjek berusia antara 18-22 tahun selama 13 tahun. Mereka yang menggunakan telefon selular melebihi 20 kali sehari didapati mempunyai median 44.5 juta sperma dalam setiap mL. Ini adalah lebih rendah berbanding median 56.5 juta/mL sperma pada mereka yang menggunakan telefon selular seminggu sekali.
Walaupun jumlah sperma adalah 21% lebih rendah, tiada perbezaan pada bentuk dan kemampuan bergerak dikesan. Seperkara lagi yang menarik perhatian penyelidik ialah impak telefon selular ke atas jumlah sperma semakin berkurangan dengan penggunaan teknologi baharu.
Teknologi 2G dan 3G mendatangkan impak yang lebih tinggi berbanding 4G dan 5G. Ini adalah berlawanan dengan teori konspirasi kononnya 5G adalah berbahaya kepada kesihatan manusia dan mengaktifkan cip tersembunyi dalam tubuh menerusi vaksin.