Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil kini berkongsi mengatakan kerajaan sedang pertimbangkan pelbagai perkara, termasuk syarat untuk mewajibkan media sosial mempunyai lesen operasi. Dengan langkah ini, ia akan memudahkan lagi pihak berkuasa untuk mengarahkan platform sosial untuk mematuhi undang-undang dan segala arahan yang ditetapkan di negara ini.
Sebelum ini sendiri, pihak kerajaan pernah kecewa dengan beberapa platform yang tidak memberikan kerjasama penuh dalam mengekang penularan berita palsu, selain beberapa perkara berbangkit lain.
Malah, di Facebook, salah satu kerisauan yang membimbangkan adalah pelbagai iklan-iklan berbentuk penipuan – yang turut menggunakan gambar-gambar artis dan selebriti.
Menteri menyatakan masalah berkaitan hal ini perlu diselesaikan segera. Perkara sama turut pernah diutarakan pada bulan September 2023 lepas – memperlihatkan kerajaan secara serius memandang ke arah perkara ini.