Dell ialah sebuah jenama kelengkapan IT terkemuka yang dikenali untuk komputer desktop, komputer riba dan juga pelbagai kelengkapan perkomputeran mereka yang lain. Salah satu daripada perkakasan terkenal mereka ialah paparan skrin Dell UltraSharp yang digunakan oleh para profesional dalam industri kreatif kerana olahan warna yang sangat jitu.
Terkini, Dell telah memperkenalkan dua buah paparan skrin Dell UltraSharp U2724D dan Dell UltraSharp U2724DE yang tampil menggunakan panel IPS Black yang baru. Panel IPS Black ini dibangunkan oleh LG, dan dikatakan boleh mengolah warna hitam yang 35 peratus lebih gelap berbanding dengan panel IPS biasa dan mempunyai nisbah kontras 2000:1 dan mempunyai sudut pandangan yang lebih lebar.
Ini bukanlah kali pertama Dell menggunakan paparan skrin IPS Black. Sebelum ini mereka juga telah memperkenalkan paparan skrin UltraSharp bersaiz 27 dan 32 inci dengan resolusi 4K, tetapi ia terhad kepada kadar segar semula 60Hz. Dengan model ini, resolusi paparan dihadkan kepada 1440p, tetapi hadir dengan kadar segar semula setinggi 120Hz.
Ia juga hadir dengan nilai kecerahan 350 nit dan boleh mengolah 98 peratus gamut warna DCI-P3 dengan delta kejituan warna E<2.
Perbezaan kedua-dua paparan skrin ini dapat dilihat daripada palam yang ditawarkan. Dell UltraSharp U2724D dan UltraSharp U2724E menawarkan satu palam DisplayPort 1.4, satu palam output 1 DP, satu palam HDMI, satu palam audio, satu palam USB type-C dengan 15W PD dan satu hab USB dengan sokongan untuk tiga palam USB. Model U2724E pula tampil dengan satu palam Thunderbolt 3 tambahan yang menyokong DP Alt-mode, palam Ethernet dan juga suis KVM (Keyboard, Video, Mouse).
Dell UltraSharp U2724D dan UltraSharp U2724E tampil dengan harga $479 dan $649, tetapi buat masa ini, Dell mengatakan bahawa tarikh jualan paparan skrin ini akan diumumkan kelak.
- Tom’s Hardware