Marshall ialah sebuah jenama audio yang cukup terkenal untuk pelbagai jenis penawaran audio, termasuklah kelengkapan untuk ahli muzik dan juga pembesar suara dan fon telinga dan kepala untuk pengguna audiofil.
Marshall Motif II ANC diperkenalkan beberapa bulan yang lalu, dan merupakan fon telinga TWS premium terbaru mereka. Rekaan Motif II dilihat membolehkan Marshall untuk memperkenalkan pelbagai fungsi dan ciri-ciri untuk pengguna, disamping menjanjikan jangka-hayat bateri dan penggunaan yang lama.

Bermula dengan rekaan serba-hitam fon telinga ini, kedua-dua fon telinga dan juga rangka penyimpanan fon telinga ini diperbuat daripada bahan kitar semula Post-Recyclable Plastic untuk mengurangkan pencemaran alam daripada penggunaan plastik baru. Bahan PCR ini juga dilihat lebih tahan lasak berbanding plastik biasa, membolehkan anda menikmati lagu anda dengan cergas apabila anda mendengar lagu-lagu kegemaran anda.

Fon telinga ini menggunakan dua pemandu audio 6mm dengan output kelantangan audio 108 desibel, dengan Marshall menjanjikan kualiti audio yang seimbang dan tidak bingit walaupun anda memasang lagu dengan kuat.
Dari segi sambungan, Marshall Motif II ANC tampil dengan sokongan untuk sambungan Bluetooth 5.3 dengan sokongan Bluetooth LE yang memastikan penggunaan kuasa bateri yang rendah.

Seperti yang diperlihatkan pada nama mereka, fon telinga ini juga hadir dengan fungsi Active Noise Cancelling terbina yang boleh melesapkan bunyi hingar di sekeliling pengguna untuk pengalaman mendengar yang mendalam. Ia juga mempunyai mod transparent audio yang membolehkan pengguna untuk mendengar bunyi sekeliling, yang sangat berguna khususnya apabila anda sedang berjalan di kawasan yang sibuk.
Ia juga mempunyai pad sesentuh di bahagian sisi yang boleh digunakan untuk mengawal pelbagai ciri dan fungsi pada Motif II, dan dengan aplikasi Marshall yang boleh dimuat-turun pada peranti Android dan iOS, anda boleh mengubahsuai pelbagai tetapan fon telinga ini.

Marshall Motif II ini tampil dengan jangka-hayat penggunaan bateri selama 6 jam untuk bahagian fon telinga, dan sehingga 30 jam bersama-sama dengan rangka pengecasan fon telinga ini dengan ciri ANC diaktifkan. Tanpanya, fon telinga ini boleh digunakan selama 9 jam secara berterusan, dan 43 jam dengan rangka pengecasannya. Ia juga mempunyai sokongan untuk pengecasan nirwayar Qi jika anda mempunyainya.
Marshall Malaysia mengatakan bahawa fon telinga Marshall Motif II ini sudahpun mula ditawarkan di pasaran tempatan melalui kedai-kedai fizikal Harvey Norman, Vivid Concepts, Flash Gadgets dan Thundermatch Technologies pada harga RM959.