Syarikat multinasional Jepun, Casio telah mengeluarkan koleksi edisi terhad GM-B2100LL-1A dan GA-110LL-1A dengan kerjasama Riot Games. Ini merupakan pembangun permainan MOBA (Multiplayer Online Battle Arena) League of Legends (LoL), yang difahami konsepnya melibatkan dua pasukan dengan lima watak masing-masing yang berjuang menghapuskan pangkalan musuh.
Dari aspek rekaan kedua-dua menawarkan rupa klasik berkonsep tahan lasak, dan menonjolkan keindahan melalui jenis binaan serta warna dalam mewujudkan kesan yang memikat. Khususnya bagi model GA-110LL-1A yang diilhamkan daripada watak Jinx yang mempunyai peranan sebagai Maskman.
Melaluinya rona warna cerah seperti kuning dan merah jambu digunakan bertujuan memberi kesan ceria sekaligus sesuai digunakan pelbagai individu. Tubuh dan tali pula sepenuhnya diperbuat daripada plastik bersama cangkuk standard, di samping terdapat juga beberapa butang khusus pada bahagian sisi untuk kawalan. Melengkapinya juga ialah penutup belakang keluli tahan karat yang direka khas dengan logo League of Legends.
Berbeza pula dengan G-Shock GM-B2100LL-1A yang menggunakan binaan berasaskan logam pada keseluruhan tubuh dan tali jam tangan. Kerangkanya pula berbentuk oktagon bersama beberapa butang fizikal di sisi dengan kemasan warna logam keemasan. Selain turut dilengkapi penutup keluli di belakang yang direka khas dengan logo League of Legends seperti yang boleh ditemui pada model GA-110LL-1A.
Bagi yang berminat harga jualan di Malaysia bermula RM965 untuk model GA-110LL-1A, kemudiannya model G-Shock GM-B2100LL-1A pula berharga RM4,795 seutas. Ketersediaan bermula 9 November akan datang menerusi pengedar sah Casio di seluruh Malaysia.