Samsung Mendakwa BOE Menggunakan Teknologi OLED Mereka Tanpa Kebenaran
Effi Saharudin
Pesaing terhampir kepada Samsung Display dalam penghasilan panel OLED untuk telefon pintar ialah BOE. Pengeluar daripada China ini kini menawarkan panel mereka kepada peranti jenis candybar dan juga skrin boleh-lipat seperti Oppo Find N3. Hujung minggu lalu Samsung Display memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Perdagangan Antarabangsa (ITC) kerana mendakwa BOE mencuri beberapa rahsia teknologi OLED milik mereka dan melanggar paten yang dipegang.

Dengan aduan ini, Samsung berharap dapat menghalang import peranti dengan skrin BOE ke pasaran Amerika Syarikat. Dalam dokumen yang difailkan oleh Samsung, BOE didakwa menggunakan kaedah persaingan yang tidak adil termasuk melanggar harta intelek bukan sahaja pada komponen teknologi OLED tetapi juga pada modul yang digunakan.
Sekiranya ITC memihak kepada Samsung, pelbagai peranti dengan panel BOE boleh dihalang jualannya. Sebelum ini arahan ITC menyebabkan Google terpaksa membuang sokongan audio multi-bilik pada peranti Chromecast. Halangan jualan Apple Watch di Amerika juga melibatkan ITC kerana Apple didakwa melanggar harta intelek tetapi kes kini dalam proses rayuan.
[sumber] Reuters [/sumber]