Adakah saya seorang sahaja yang rasakan algoritma YouTube sejak kebelakangan ini sedikit mengarut? Video yang dicadangkan kepada saya adalah video yang saya pernah tengok berkali-kali, video dari saluran yang tidak dikenali, video dari kategori topik bukan kegemaran saya dan banyak lagi. Terbaru YouTube dilihat sedang menguji butang main baharu yang cuba mencadangkan kandungan berdasarkan corak penggunaan pengguna.
Butang ini berwarna hitam dan terapung di bahagian bawah aplikasi YouTube untuk Android. Menurut Android Police, apabila butang ini ditekan ia membawa pengguna ke video-video Shorts rawak yang dicadangkan mengikut minat pengguna seperti video yang disukai, saluran yang dilanggan, sejarah menonton dan banyak lagi.
Ujian ini dilihat terhad kepada pengguna terpilih, satu lagi ujian A/B YouTube yang tidak boleh diakses oleh semua orang. Buat masa ini masih tidak pasti bila ia akan dilancarkan kepada umum. Untuk saya yang lebih menggemari YouTube Shorts berbanding TikTok, butang ini amat membantu saya untuk menerokai lebih banyak kandungan yang mungkin saya terlepas.