WhatsApp dilaporkan bakal muncul dengan fungsi pengesahan menggunakan emel menerusi kemaskini akan datang. Melaluinya akan terdapat pilihan baharu dinamakan Email Address yang membolehkan pengguna mengaitkan akaun WhatsApp kepada emel untuk keselamatan tambahan. Ia boleh diaktifkan menerusi ruang tetapan, yang dalam masa sama fungsi pengesahan menggunakan SMS masih tersedia macam biasa.
Namun perlu ditegaskan bahawa pengenalannya hanyalah sebagai ciri keselamatan tambahan, yang sesuai diaktifkan sekiranya pengguna mahu log masuk ke akaun WhatsApp sedia ada menggunakan emel. Sementara itu ia tidak pula tersedia untuk proses pendaftaran akaun buat kali pertama, di mana fungsi pengesahan menggunakan nombor telefon masih diperlukan.
Buat masa ini ciri ini masih lagi diperingkat pengujian yang boleh dicuba dalam kalangan pengguna beta Android terpilih. Ia sudah semestinya kelak menerima beberapa penambahbaikan sebelum diperkenalkan dalam versi penuh.