OpenAI hari ini telah mengumumkan GPT-4 Turbo yang boleh memproses prom sepanjang 300 muka surat dan juga GPT yang membenarkan sesiapa sahaja membangunkan ChatGPT tersendiri. Ini secara tidak langsung meletakkan OpenAI selangkah ke masa hadapan untuk setiap individu mempunyai pembantu digital/maya tersendiri yang diperibadikan.
Hari ini OpenAI turut mengumumkan yang mereka kini mempunyai 100 juta pengguna aktif setiap minggu berbanding tahun lepas semasa dua bulan pertama dilancarkan adalah 100 juta pengguna setiap bulan. Bukan itu sahaja, lebih 2 juta pembangun turut telah membangunkan projek masing-masing dengan teknologi GPT dengan ia termasuk 92% syarikat dalam senarai Fortune 500.
Saya sendiri hampir setiap hari akan menggunakan Bing Chat atau Windows CoPilot bagi membantu melancarkan lagi tugasan harian. Saya boleh nampak masa hadapan nanti bersama Google Assistant atau Siri di mana generatif AI akan lebih berguna untuk semua. Apa kata anda?