Mark Zuckerberg hari ini memaklumkan yang mana Instagram sedang menguji sebuah ciri baharu yang dinantikan ramai pengguna pada platform berkenaan, iaitu kebolehan untuk mematikan “Read Receipt”. Dengan langkah ini, pihak lagi satu tidak akan dimaklumkan sekiranya seseorang telah membaca mesej yang dihantar atau sebaliknya.
Pada hari ini, apabila anda menghantar DM kepada seseorang, Instagram akan memaparkan notifikasi sama ada mesej berkenaan telah dibaca atau tidak. Dengan pengenalan ciri ini, perkara berkenaan boleh dimatikan, dan pengguna berkenaan tidak akan mengetahui sama ada mesej telah dibaca atau tidak.
Sekiranya mengambil kaedah implementasi di WhatsApp, maka pengguna yang mematikan ciri ini, turut tidak boleh melihat sama ada orang lain telah membaca mesej mereka atau sebaliknya.
Buat masa ini, ciri ini masih pada peringkat ujian, dan tidak diketahui lagi bilakah akan diperkenalkan kepada semua.