Sejak Valve memperkenalkan konsol PC Steam Deck mereka, terdapat banyak jenama konsol yang menggerakkan sistem operasi Microsoft Windows 10 dan Windows 11 di pasaran seperti Ayaneo, GPD Win, ASUS ROG Ally dan sebagainya di pasaran gaming sekarang.
Beberapa bulan lalu, Lenovo turut mengatakan bahawa mereka akan memperkenalkan penawaran mereka sendiri, dan ia dinamakan Lenovo Legion Go, sebuah konsol PC yang tampil dengan spesifikasi hampir sama dengan ROG Ally, tetapi dengan banyak perbezaan lain yang menjadikan konsol ini sebuah penawaran yang unik.

Spesifikasi Dan Rekaan
Lenovo Legion Go | |
---|---|
Skrin | 8.8″ QHD+ (2560×1600) IPS, 144Hz, Sesentuh |
CPU | AMD Ryzen Z1 Extreme |
GPU | AMD Radeon RDNA3 |
RAM | 16GB LPDDR5-7500 |
Muatan Dalaman | 512GB PCIe Gen4 |
Kamera Utama | Tiada |
I/O | 2x USB4 1x pembaca kad microSD |
Bateri | 49 Wh (4 Sel) Pengecasan 65W |
SIM/Telefoni | Tiada |
WiFi | 802.11a/b/g/n/ac/6e |
Bicu Audio | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Tiada |
Harga Jualan | TBA |
Bermula dengan spesifikasi Lenovo Legion Go ini, ia dikuasakan oleh siri cip pemprosesan AMD Ryzen Z1 yang diperkenalkan buat pertama kali melalui konsol ASUS ROG Ally. Spesifikasi lain konsol ini termasuklah penggunaan memori LPDDR5 sebanyak 16GB dan storan SSD 512GB.

Ia juga tampil dengan paparan IPS Legion PureSight bersaiz 8.8 inci dengan resolusi 2560×1600 dan kadar segar semula 144Hz, yang merupakan paparan paling besar apabila dibandingkan dengan konsol seperti Steam Deck dan ASUS ROG Ally.

Selain daripada paparan yang sangat besar ini, satu lagi keunikan Lenovo Legion Go hadir dari penggunaan alat kawalan permainan Lenovo Legion TrueStrike Controller yang boleh dicabut daripada sisi paparan konsol ini, bagaikan apa yang boleh dilakukan pada konsol permainan Nintendo Switch.

Malah, cara anda menanggalkan alat kawalan pada kedua-dua konsol ini adalah hampir sama, dan cara penggunaannya apabila ia diasingkan daripada konsol-konsol ini juga adalah sama. Satu perbezaan ialah alat kawalan sebelah kanan boleh dipacakkan kepada sebuah tapak yang membolehkannya digunakan sebagai tetikus nirwayar yang boleh dimanfaatkan pada sistem operasi dan juga dalam permainan.

Percubaan awal saya menggunakan alat kawalan ini sebagai tetikus rasa sedikit kekok kerana sekeliling alat kawalan ini terdapat beberapa butang yang ditutupi oleh jari-jari anda apabila alat kawalan ini digenggam. Tetapi apa yang sangat baik mengenai ciri ini ialah alat kawalan anda akan menjadi tetikus secara automatik apabila ia dipacakkan didalam tapak ini.
Perisian
Lenovo Legion Go digerakkan dengan sistem operasi Microsoft Windows 11, dengan perisian Legion Space yang merumahkan kesemua permainan-permainan yang dipasang pada konsol ini, dan juga pelbagai tetapan mod dan kualiti yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna.

Sama seperti ROG Ally, pengguna boleh menggunakan platform permainan komputer seperti Steam, Microsoft Games Store, Epic Games Store, EA dan sebagainya tanpa masalah, dan permainan-permainan yang dimuat-turun pada konsol ini akan diperlihatkan di bahagian Library perisian ini, tidak mengira dari platform manakah anda memuat-turun permainan-permainan tersebut.

Dalam pada itu, pelbagai tetapan peranti, seperti mod prestasi, resolusi, kadar segar semula dan juga kemaskini peranti juga dapat diakses melalui perisian Legion Space ini.
Lenovo Legion Glasses
Konsol Legion Go ini juga mempunyai dua palam pengecasan USB, dan kedua-duanya menyokong pengecasan 65W. Sebab mengapa konsol ini tampil dengan dua palam USB ialah kerana aksesori yang diperkenalkan bersama-sama dengan konsol ini, iaitu Lenovo Legion Glasses.

Legion Glasses ialah sebuah kaca mata elektronik yang digunakan sebagai paparan tanpa menggunakan paparan Legion Go. Kaca mata ini hadir dengan sepasang lensa percuma yang boleh digunakan untuk menukar kuasa lensa, yang berguna sekiranya anda menggunakan kaca mata.

Tetapi selain daripada itu, menggunakan Legion Glasses ini sangat mudah. Anda hanya perlu memasang kabel USB-C ke konsol, dan output paparan akan bertukar daripada konsol ke kaca mata begitu sahaja. Satu kekurangan disini ialah kadar segar semula paparan akan terhad kepada 60FPS sahaja. Ia juga akan menggunakan kuasa bateri daripada konsol, jadi ia bukanlah sesuatu yang perlu dicas.

Apa yang menarik lagi mengenai Legion Glasses ini ialah ia sebuah kaca mata paparan yang boleh digunakan oleh peranti-peranti lain, seperti konsol PC yang lain, dan juga komputer riba yang mempunyai palam USB-C. Senarai peranti yang boleh manfaatkan Legion Glasses ini tidak diketahui, tetapi saya boleh katakan bahawa ia adalah sebuah aksesori komputer yang agnostik.
Prestasi
Setakat ini, tidak banyak yang saya boleh katakan mengenai prestasi konsol ini. Ia menggunakan siri cip pemprosesan AMD Ryzen Z1/Z1 Extreme sama yang digunakan pada ROG Ally, jadi prestasinya adalah seperti apa yang disangka.

Di acara Lenovo Legion APAC yang memperlihatkan konsol ini, saya sempat menguji permainan Starfield pada konsol ini, dan ia menampakkan prestasi hampir 60FPS pada resolusi 800p dengan tetapan pertengahan dan peranti ini ditetapkan pada mod Performance.

Kami diberitahu oleh pihak Lenovo bahawa bergantung kepada tetapan kuasa, permainan, paparan dan sebagainya, konsol Legion Go ini dilihat boleh bertahan selama dua ke dua jam lebih dengan satu pengecasan penuh. Perkara ini kami akan uji dengan lebih mendalam apabila kami mengulas peranti ini di masa akan datang.
Penutup
Jujur saya katakan bahawa konsol PC Lenovo Legion Go ini adalah sebuah lagi peranti gaming yang memberikan rasa seronok kepada saya kerana idea-idea yang diambil oleh Lenovo untuk membangunkan peranti ini.

Ya, konsep konsol permainan Windows 11 bukanlah sesuatu yang baru, dan konsep alat kawalan yang boleh ditanggalkan juga sudahpun digunakan sebelum ini, tetapi cara ia diimplementasi oleh Lenovo memberi saya harapan bahawa kita akhirnya mempunyai sebuah konsol permainan mudah-alih yang menggabungkan banyak idea-idea baik dari konsol lain didalam satu rangka.