Touch n Go eWallet hari ini memperkenalkan program mata ganjaran tersendiri dinamakan GOrewards – dimana ia memberikan mata ganjaran untuk setiap ringgit yang dibelanjakan melalui dompet digital berkenaan.
Dengan langkah ini, ia dilihat TNG eWallet memberikan lebih sebab kepada pengguna dalam kekal menggunakan dompet digital berkenaan berbanding yang lain. Menurut TNG eWallet, kini mereka mempunyai sekitar 21 juta pengguna – dimana semua pengguna berkenaan kini boleh mendaftar dan mendapatkan mata ganjaran melalui GOrewards.
Melalui katalog yang disediakan di GOrewards, pengguna boleh melakukan tebusan pada jumlah mata ganjaran bermula 100 mata. Pelbagai ganjaran turut disediakan untuk ditebus oleh pengguna. Antara yang ditawarkan adalah termasuk baucar pembelian daripada sejumlah rakan kerjasama, kod diskaun, dan sebagainya.
Disamping itu, walaupun mata ganjaran diberikan untuk setiap ringgit dibelanjakan, GOrewards juga mempunyai rakan kerjasama eksklusif seperti Tealive yang memberikan 5x mata ganjaran, Kenny Rogers Roasters yang berikan 6x mata ganjaran, dan sebagainya.
TNG turut mengingatkan semua mata ganjaran yang dikumpulkan akan luput dalam masa 6 bulan selepas ia diterima. Tiada sebarang mata ganjaran yang diberikan untuk pembayaran tol dan parkir melalui PayDirect.