Carian
Pusat Pengujian Kenderaan Swapandu MRANTI AV XL Dilancarkan
November 9, 2023 Ikhwan Nazri

Dalam merancakkan kemajuan automotif yang semakin hari berkembang dengan teknologi baharu, terdapat keperluan wujudnya pusat pengujian teknologi yang hadir dalam ekosistem ini antaranya teknologi swapandu, pengecasan, capaian internet, tenaga lestari, dan pelbagai lagi. Malah teknologi swapandu itu sendiri adalah berasaskan pelbagai teknologi yang kompleks,  dan perlunya ruang khas diwujudkan bagi menggalakkan pertumbuhan syarikat dan semua pihak yang membangunkannya.

Hari ini MRANTI telah melancarkan pusat pengujian kenderaan swapandu MRANTI AV XL (Autonomous Vehicle Experimental Lab). Di pusat pengujian ini, akan ditempatkan syarikat yang bergiat dalam industri kenderaan generasi baharu dan turut membolehkan mereka menguji pelbagai teknologi baharu dengan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya sepanjang 12km merangkumi jalan yang sibuk dan jalan berbukit, bangunan parkir bertingkat, kawasan liputan 5G, ujian pengurusan trafik, ujian pengangkutan transit, AV Simulator, dan pelbagai lagi.

Selain dari itu MRANTI turut memperkenalkan 6 pensijilan dipanggil Deploy AV-as-a-Service di mana segala produk dan solusi berkaitan kenderaan swapandu ini mempunyai pensijilan berasaskan pengujian yang telah disempurnakan. Misalnya fungsi asas kenderaan swapandu akan memperoleh pensijilan X1, dan pensijilan X4 bermaksud teknologi yang dibangunkan turut mempunyai tahap sekuriti yang tinggi dari sebarang serangan siber. 

Untuk permulaan ini sebanyak 8 kajian berkaitan teknologi kenderaan swapandu ini akan diadakan dengan kerjasama NanoMalaysia, University of Nottingham, dan juga Energy Research Institute dari Nanyang Technological University Singapore. Selain dari itu turut menampilkan rakan kerjasama dari MIROS, MARii, Futurise, serta institusi pengajian tinggi tempatan lain. 

Dengan kemudahan infrastruktur untuk pengujian ini, baik dari segi bangunan parkir, jalan raya, dan juga capaian 5G tersedia, lebih banyak syarikat tempatan dapat menguji teknologi berkaitan kenderaan swapandu ini dengan lebih mudah di MRANTI AV XL.

Komen