Pin Pintar Ai Pin Dilancarkan Dengan Projektor Terbina Serta Kawalan Suara
Effi Saharudin
Pin pintar Ai Pin dilancarkan lewat malam semalam oleh Humane dengan ia ingin mengubah bagaimana manusia berinteraksi dengan peranti pintar. Ia sebuah peranti seberat 34 gram yang terdiri daripada bahagian komputer dan pek bateri dengan magnet seberat 20 gram.
Ini membolehkan Ai Pin dikepit pada kolar baju atau kemeja seperti mikrofon DJI dan Rode. Menurut Humane, bateri boleh bertahan setiap hari dan sekiranya habis sekalipun pemilik hanya perlu menggantikan pek bateri sahaja untuk ia terus digunakan.

Tiada skrin pada Ai Pin sebaliknya sebuah projektor memaparkan maklumat yang ingin diketahui pada telapak tangan. Pemilik kemudian menekan imej pada telapak tangan untuk mendail nombor telefon dan berinteraksi dengan notifikasi. Ai Pin dijana oleh cip Snapdragon yang tidak didedahkan serta turut dilengkapi kamera 13MP yang boleh mengambil gambar serta video.

Majoriti interaksi dengan Ai Pin dilakukan menerusi arahan suara, gestur jari dan bantuan pembantu maya dengan kecerdasan buatan (AI). Ai Pin tidak mendengar sepanjang waktu atas sebab privasi. Pemilik perlu menekan pad sesentuh di bahagian hadapan tubuh untuk mengaktifkannya sebelum arahan suara diberikan.

Sebuah speaker di bahagian atas membolehkan panggilan suara atau muzik didengari. Sementara itu sebuah lampu LED di hadapan pula memaparkan status sama ada ia aktif ataupun tidak. Apabila menyala orang ramai turut dapat melihat Ai Pin sedang aktif mendengar atau sedang melakukan rakaman video. Humane turut memberikan sebuah lampu LED notifikiasi kecil di bahagian atas.

Akhir sekali ia tidak mempunyai sebarang aplikasi pada waktu ini sebaliknya hanya hadir dengan beberapa aplikasi serta fungsi terbina. Humane Ai Pin boleh ditempah pada harga $699 (~RM3299) sebuah hanya di Amerika Syarikat dengan ia akan dijual secara terbuka awal tahun 2024 dalam warna Eclipse, Equinox serta Lunar.
[sumber] Humane Ai Pin [/sumber]