Carian
Google Dan Samsung Membangunkan IAMF Untuk Audio 3D Spatial
November 10, 2023 Effi Saharudin

Terdapat pelbagai format audio 3D spatial yang digunakan pada peralatan audio pengeluar berbeza. Akibatnya tidak semua perkakasan audio menyokong format tertentu kerana kekangan lesen. Google dan Samsung telah bekerjasama membangunkan Immersive Audio Model and Formats (IAMF) yang diharapkan dapat menyelesaikan masalah ini di masa hadapan.

IAMF telahpun diadaptasi oleh Alliance for Open Media pada Oktober tahun ini sebagai format audio spatial sumber terbuka. Menerusi IAMF terdapat mempunyai maklumat menegak untuk pengalaman audio imersif, kemampuan memperibadikan audio dan kecerdasan buatan yang menganalisa trek audio sebelum memastikan bunyi yang dihasilkan pada speaker adalah sama seperti gubahan asal.

Ciri memperibadikan ini misalnya membolehkan penonton memilih untuk menonton perlawanan bola sepak yang memberikan tumpuan kepada suara pengulas atau diubah untuk memberikan tumpuan kepada bunyi di dalam stadium. Google dan Samsung berkata IAMF akan membolehkan audio spatial didengari seperti sepatutnya pada TV, soundbar, fon kepala, fon telinga atau telefon pintar tanpa mengira perkakasan yang digunakan.

Komen