Carian
Siri Samsung Galaxy Z FE Akan Dilancarkan Pada Harga Lebih Mampu Milik
November 12, 2023 Effi Saharudin

Sudah lama kami mendengar ura-ura Samsung akan melancarkan peranti skrin boleh-lipat yang lebih mampu milik. Siri Galaxy Z Flip memang lebih murah berbanding siri Galaxy Z Fold tetapi harganya masih tidak setanding siri Galaxy A. Kini mula kedengaran ura-ura siri Galaxy Z FE akan dilancarkan dengan ia akan ditawarkan pada harga antara $400-$500 (~RM1900-RM2500) sebuah.

Bagi mengurangkan kos, Galaxy Z FE akan hadir dengan spesifikasi kelas pertengahan. Dengan ini harga yang lebih kompetitif dapat ditawarkan. Peranti skrin boleh-lipat paling mampu milik di Malaysia sekarang ialah Tecno Phantom V Flip berharga RM2999 yang lebih murah berbanding Galaxy Z Flip5 berharga RM4499.

Sejak dari awal pelancaran peranti skrin boleh-lipat Samsung berjanji akan menawarkan model yang lebih murah. Selepas lima iterasi siri Galaxy Z Flip dan Z Fold mungkin sekarang masa yang paling tepat untuk menawarkannya kepada orang ramai. Menurut angka yang dikongsi sebelum ini, siri Galaxy Z kini mencapai angka jualan sekitar 10 juta setahun setanding dengan angka jualan Galaxy Note yang telahpun dimatikan.

Kami meramalkan jika Galaxy Z FE ditawarkan ianya menggunakan semula rekaan Galaxy Z Flip4 tanpa skrin gergasi di bahagian luar. Dengan ini ia tidak bersaing terus dengan Galaxy Z Flip5. Adakah anda menantikan peranti skrin boleh-lipat yang lebih murah ataupun siri ini hanya ditawarkan dengan spesifikasi mercu sahaja?

Komen