Universiti Sains Malaysia bersama SpaceIn, sebuah syarikat memfokuskan pembangunan satelit kecil, kini melakar sejarah tersendiri apabila berjaya melancarkan satelit piko pertama Malaysia ke angkasa, dinamakan SpaceANT-D.
SpaceANT-D (Space Advance Network Technology) ini telah berjaya dilancarkan menggunakan roket Falcon 9 milik Space X. Ia seterusnya akan dilepaskan ke angkasa dalam masa 7 ke 10 hari lagi, sebelum isyarat pertama satelit berkenaan dihantar ke stesen bumi. Misi satelit ini turut merupakan hasil usaha sama bersama pihak Persatuan Pemancara Radio Amatur Malaysia.
Melalui satelit ini kelak, ia akan menerima data dari stesen Bumi, dan seterusnya kemudiannya ke simpanan perkomputeran awan yang akan memudahkan data berkenaan diambil oleh pengguna lain. Antara industri yang dijangka akan menjadi tumpuan penggunaan SpaceANT ini adalah termasuk industri pertanian, perhutanan, minyak dan juga gas.
USM menyasarkan langkah pengenalan satelit kecil ini akan memberi lebih banyak peluang dalam menerokai teknologi angkasa berkenaan, dalam menyelesaikan masalah pelbagai industri tempatan. Dengan pencapaian ini, sama-sama kita nantikan lebih banyak satelit bersaiz kompak dan kecil dilancarkan oleh syarikat tempatan dalam terus meneroka industri angkasa.