Foxconn merupakan nama yang tidak asing dalam pengeluaran peranti – dan sedia terkenal sebagai pengeluar untuk iPhone. Syarikat gergasi berkenaan dilihat mempelbagaikan lagi bentuk perniagaan mereka kebelakangan ini.
Selepas hadir dengan keupayaan untuk pengeluaran kenderaan elektrik, Foxconn juga kini turut menceburi arena aeroangkasa. Terbaru, mereka telah melancarkan dua satelit LEO (Low-Earth Orbit) yang dibangunkan sendiri.

Foxconn dilihat ingin membangunkan satelit untuk perusahaan dan juga pihak kerajaan. Ini sekaligus berbeza dengan beberapa syarikat lain yang turut memfokuskan arena sama untuk pelbagai tujuan, termasuk komunikasi berasaskan satelit. Satelit yang dilancarkan ini dikatakan seberat 9 kilogram, dan menyertakan keupayaan seperti kamera, sokongan komunikasi dan beberapa peralatan lain bersama dengannya.
Dengan perkembangan baharu ini, ia sesuatu yang menarik untuk melihat persaingan seterusnya berlaku dalam aeroangkasa, yang akan membantu dalam pelbagai bidang, termasuk sains.