Carian
Ulasan Anker SoundCore A20i – TWS Serba Lengkap Untuk RM99
December 1, 2023 Nazrin

Di makmal ujian Amanz, kami menguji pelbagai jenis produk audio, dari jenama-jenama terkemuka, ke jenama yang baru mahu menjejak langkah ke dunia audiofil, dari produk-produk yang mahal ke produk-produk yang murah.

Jujur saya katakan bahawa saya agak memilih apabila ia hadir ke jenis fon kepala ataupun fon telinga yang saya guna dan uji, jadi apabila saya diminta untuk menguji fon telinga Anker SoundCore A20i ini.

Rekaan Dan Spesifikasi

Anker SoundCore A20i
JenisFon putik dalam telinga
PemanduTidak diketahui
Mikrofon1 mikrofon
Bateri9 jam / 28 jam dengan pod
Port pengecasUSB-C
Pengecasan nirwayarTiada
CODECAAC
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaTiada
Pad KawalanYa
Kemampuan kalis airIPX5
Harga JualanRM99

Tiada banyak yang saya boleh perkatakan tentang rekaan fon telinga IEM Anker SoundCore A20i ini. Ia hadir dengan rekaan yang boleh diumpamakan sebagai mana-mana rangka fon telinga IEM yang dikeluarkan oleh 99 jenama lain dan apabila dibuka, merumahkan dua buah fon telinga yang juga mempunyai rekaan IEM generik yang diperlihatkan pada banyak jenama lain.

Di bahagian belakang fon telinga ini ialah palam USB Type-C yang digunakan untuk mengecas rangka pengecasan ini, manakala di sisinya pula ialah sebuah tali pemegang yang boleh digunakan sebagai cara untuk mengenalpasti dimanakah fon telinga ini apabila ia disimpan didalam ceruk seluar ataupun beg tangan pengguna.

Apabila saya membuat sedikit penyelidikan tentang fon telinga SoundCore A20i ini ketika saya mengulasnya, saya juga agak terkejut untuk mendapat tahu bahawa kedua-dua putik audio ini hadir dengan sokongan tahan air IPX5 dan juga menyokong sambungan Bluetooth 5.3.

Aplikasi

Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai aplikasi SoundCore yang boleh dimuat-turun melalui gudang aplikasi Apple App Store ataupun Google Play Store yang boleh digunakan untuk menyambungkan fon telinga ini kepada peranti, dan beberapa ciri lain.

Menyambungkan fon telinga ini kepada aplikasi tersebut membolehkan pengguna untuk melihat sendiri jangka-hayat bateri kedua-dua fon telinga dan juga mengubahsuai tetapan pada pad sesentuh pada kedua-dua bahagian fon telinga dengan satu sentuhan-dua sentuhan dan sentuhan panjang.

Dengan aplikasi ini juga, anda boleh mencari fon telinga anda sekiranya anda hilang salah satu daripadanya. Fon telinga ini akan mengeluarkan bunyi berfrekuensi tinggi, jadi ia disarankan anda tidak memakai fon telinga satu lagi apabila mencari untuk unit yang hilang.

Pengalaman Penggunaan

Menggunakan dan menyambungkan fon telinga Anker SoundCore A20i ini adalah pengalaman yang mudah dan cepat sekali. Anda tidak perlu memasang aplikasi SoundCore untuk menyambungkan aksesori ini kepada peranti anda, tetapi saranan kami ialah anda mahu melakukannya untuk satu fungsi sahaja, iaitu untuk mengubahsuai tetapan pad sesentuh pada fon telinga ini.

Selain daripada itu, anda boleh menyambungkan fon telinga ini menggunakan sambungan Bluetooth sahaja dengan cepat dan mudah. Satu lagi aspek mengenai fon telinga ini yang saya sangat suka ialah ia mempunyai jangka hayat bateri 9 jam dengan satu pengecasan penuh, dan sehingga 28 jam apabila dipadankan dengan rangka pengecasan.

Penggunaan fon telinga ini sangatlah mudah, dan pengubahsuaian yang boleh dilakukan melalui aplikasi juga tidak begitu rumit, dan ini bagi saya ialah apa jenama-jenama audio yang membuat produk IEM perlu contohi untuk produk-produk mereka yang jauh lebih mahal.

Dalam pada itu, ciri kalis air IPX5 juga sangat berguna kebelakangan ini dengan hujan yang membelenggu Lembah Kelang setiap hari. Saya tidak perlu risau sekiranya

Kualiti Audio

Ini merupakan satu bahagian dimana saya telah tulis, padam, tulis dan padam berkali-kali kerana untuk fon telinga ini, ia agak sukar untuk saya zahirkan pendapat mengenai kualiti audio fon telinga ini.

Secara ringkasnya, pada pendapat saya ialah Anker SoundCore A20i ini adalah bagus, khususnya untuk sepasang fon telinga TWS yang dijual pada harga RM99. Walaupun begitu, untuk membuka kunci kualiti audio ini, anda akan perlu memuat-turun aplikasi SoundCore terlebih dahulu untuk mengakses fungsi Equalizer.

Menu EQ aplikasi ini hadir dengan banyak pilihan preset, tetapi saya diminta untuk menguji mod SoundCore Signature BassUp yang dikatakan akan meningkatkan tahap kualiti bass untuk lagu-lagu yang didengari. Pada pendapat saya, ya, benar kualiti bass meningkat, tetapi masalah dengan ini ialah nota-nota lain pula yang ditenggelami dengan bunyi bass yang berlebihan.

Jika anda tanyakan saya, pilihan EQ Rock merupakan mod audio yang terbaik pada fon telinga ini, kerana ia meningkatkan kelantangan nota rendah dan treble dan juga bass pada tahap yang memuaskan. Cuma nasihat saya, anda perlu berjaga-jaga sekiranya anda jenis yang mendengar lagu pada kelantangan audio yang tinggi, kerana pada tahap tersebut kebarangkalian bunyi bingit yang menyakiti telinga anda.

Jika anda pastikan bahawa kelantangan audio adalah pada tahap yang selesa, ini tidak akan menjadi masalah untuk anda.

Apa Dalam Kotak

Ini adalah apa yang ditawarkan didalam kotak apabila anda membeli fon telinga Anker SoundCore A20i ini:

  • 1x Anker SoundCore A20i
  • 1x manual
  • 1x kabel pengecasan USB Type-A ke USB Type-C
  • 3x tip telinga silikon saiz S,M,L

Kesimpulan

Pada tanda harga RM99, Anker SoundCore A20i ialah fon telinga yang sangat sesuai dibeli sebagai sandaran sekiranya fon telinga utama/premium anda rosak ataupun hilang.

Ia dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri yang secara lazimnya hanya diperlihatkan pada fon telinga yang lebih premium, seperti sokongan aplikasi, kemaskini perisian, kebolehan untuk mengubahsuai tetapan fungsi sesentuh dan kualiti audio berdasarkan kemahuan anda dan juga sokongan kalis air IPX5.

Pada tanda harga ini juga, kualiti audio fon telinga Anker SoundCore A20i ini adalah cukup menakjubkan sekali. Tidak ada masalah untuk anda menggunakan fon telinga ini sebagai peranti audio sandaran, khususnya dengan ciri-ciri yang hadir pada fon telinga ini yang memberikan fon telinga ini nilai yang sangat baik sekali.

Pro

  • Harga sangat mampu milik
  • Padat dengan ciri-ciri baik
  • Aplikasi yang mudah digunakan
  • Jangkahayat bateri panjang

Kontra

  • Kualiti binaan plastik
  • Tiada ANC
  • Tiada sokongan pembantu maya
Komen