Carian
Lenovo ThinkStation P8 Tampil Dengan CPU AMD Threadripper PRO 7000 WX Dan Sehingga 3 Buah GPU
November 14, 2023 Nazrin

Lenovo ialah sebuah jenama pembuat komputer yang cukup terkenal untuk penawaran komputer mereka, dari komputer desktop ke komputer riba untuk rumah, pejabat dan juga gaming. Terkini, dengan pelancaran siri cip pemprosesan AMD Threadripper yang terbaru, Lenovo telah mengemaskini siri komputer Lenovo ThinkStation mereka dengan model baru, iaitu Lenovo ThinkStation P8.

Didalam rangka besi hitam bersaiz 175 x 508 x 435 mm, Lenovo ThinkStation P8 ini tampil dengan penggunaan cipset WRX90 yang baru, bersama-sama dengan penawaran CPU AMD Ryzen Threadripper PRO 7000 WX yang termasuklah CPU AMD Ryzen Threadripper PRO 7995WX dengan 96 teras fizikal Zen4 yang boleh dilewahjam sehingga 5.1GHz dan menggunakan kuasa sebanyak 350W.

Dari segi penawaran memori, komputer ThinkStation P8 ini mampu menampung sehingga 2TB memori DDR5 dalam konfigurasi okta-saluran, tujuh storan SSD PCIe 4.0 dan tiga cakera keras dengan storan besar tanpa masalah, dan sangat berguna dalam industri yang memerlukan storan komputer yang bukan sahaja besar, tetapi juga pantas.

Apa yang lebih menarik lagi ialah konfigurasi kad grafik yang boleh didapati pada komputer ini. Lenovo mengatakan bahawa bergantung kepada kad grafik, anda boleh memuatkan sebuah AMD Radeon PRO W7900 dengan 96 unit CU dan 48GB memori GDDR6 ataupun tiga buah kad grafik NVIDIA RTX 6000 yang juga mempunyai jumlah memori yang sama. Dengan konfigurasi maksima, ia dianggarkan bahawa sebuah komputer Lenovo ThinkStation P8 ini akan hadir dengan berat sekitar 25.9KG.

Buat masa ini, Lenovo hanya mengatakan bahawa komputer kelas kerja profesional ThinkStation P8 ini hanya akan ditawarkan pada awal tahun 2024, dengan tanda harga yang juga akan diumumkan kelak.

Komen